BTS Media

Undang-undang gangguan seksual lebih ketat diluluskan

Oleh Fetty Rara

SELEPAS lebih sedekad, Malaysia akhirnya mempunyai undang-undang lebih ketat untuk melindungi wanita dan lelaki daripada gangguan seksual.

Rang Undang-undang Anti Gangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat semalam (Rabu 20 Julai).

Bagaimana pun, sebelum dimuktamadkan, Dewan Rakyat menjadi kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Pasir Salak (Barisan Nasional) dilaporkan telah menghina ahli parlimen wanita dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Namun, kelulusan Rang Undang-undang yang pertama kali dicadangkan pada 2011 itu disambut baik oleh kalangan ahli parlimen wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata undang-undang itu terpakai untuk semua individu tanpa mengira jantina. Ia dikategorikan sebagai gangguan seksual merangkumi semua tingkah laku tidak elok yang menyinggung perasaan dalam apa jua bentuk terhadap orang lain, dan tidak menghormati atau membahayakan kesejahteraan mereka,.

Bagi mereka yang menjadi mangsa kerana cara pakaian, Rina berkata ia juga boleh termasuk dalam kategori gangguan seksual dan dirujuk ke tribunal.

Di bawah undang-undang, pelaku gangguan seksual mungkin akan berdepan dengan keperluan membayar pampasan kepada mangsa mereka sehingga RM250,000 atau dipenjarakan selama dua tahun.

Jika gangguan seksual dilakukan secara terbuka, pesalah perlu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Syarikat juga dikehendaki mempamerkan poster atau bahan anti gangguan seksual di tempat kerja dalam usaha menyedarkan tentang undang-undang baharu itu.

Menurut Rina, kerajaan juga bersetuju untuk menaikkan penalti daripada RM10,000 kepada RM50,000 bagi syarikat yang gagal bertindak terhadap gangguan seksual di tempat kerja.

Beliau berkata pelan tindakan telah dirangka untuk melaksanakan undang-undang itu sebaik sahaja ia diwartakan.

Tribunal Anti-Gangguan Seksual 12 anggota yang terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman atau peguam berpengalaman, akan ditubuhkan untuk tujuan itu.

“Sebagai permulaan, tribunal akan berada di Lembah Klang, tetapi ia boleh mendengar lebih daripada satu kes, yang boleh diadakan di mana-mana tempat,” katanya.

“Kedua-dua pengadu dan tertuduh mempunyai hak untuk hadir semasa prosiding, dan mangsa akan diberikan hak untuk representasi undang-undang,” katanya.

Bagi kes yang membabitkan isu-isu perundangan rumit, hak representasi juga terbuka kepada pelaku jika mangsa diwakili oleh peguam.

Keputusan tribunal akan mempunyai kuasa seperti arahan mahkamah, dengan rayuan ke Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman dibenarkan jika terdapat pelanggaran prosedur serius.

Rina berkata tribunal juga mempunyai kuasa untuk menolak aduan yang remeh, dan mereka yang tersalah tuduh boleh membuat laporan fitnah jenayah.

Undang-undang yang dicadangkan adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan gender.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada Disember lalu.

Ia sepatutnya diluluskan semasa mesyuarat Dewan Rakyat pada Mac lalu tetapi ditangguhkan untuk mendapatkan lebih banyak maklum balas.

Rang Undang-Undang itu, yang dipinda lagi semalam sebelum diluluskan, kini akan melalui Dewan Negara dan akan diwartakan untuk penguatkuasaan selepas mendapat perkenan diraja.

-BTS Media

Leave a Comment