SEBUAH bot yang dipercayai membawa 90 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar dan Bangladesh tenggelam di perairan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Setakat ini, enam mangsa diselamatkan, manakala mayat seorang wanita etnik Rohingya ditemui terapung di laut.
Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati bot tersebut salah satu daripada tiga bot yang membawa kira-kira 300 pendatang, dipercayai hasil kegiatan sindiket penyeludupan manusia.
Menurut beliau, kesemua pendatang itu pada mulanya menaiki sebuah kapal besar sebelum dibahagikan kepada tiga bot lebih kecil ketika menghampiri sempadan tiga hari lalu.
“Bot yang membawa 90 orang itu dipercayai karam, manakala dua lagi bot masih belum dapat dikesan,” katanya ketika dihubungi.
Yang diselamatkan terdiri daripada warga Myanmar, termasuk etnik Rohingya, serta warga Bangladesh. Tiga mangsa pertama yang ditemui ialah lelaki Myanmar, diikuti dua lagi etnik Rohingya dan seorang lelaki Bangladesh.
Semua pendatang terbabit dipercayai membayar kira-kira RM13,000 seorang kepada sindiket bagi memasuki Malaysia secara haram. Ada di antara mereka terpaksa menjual tanah bagi menampung kos.
Kapal yang membawa kumpulan itu belayar sebulan lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah digerakkan sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu.
— BTSMedia.my



