KEHILANGAN Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat perlu dilihat sebagai pelanggaran serius terhadap hak asasi manusia, dan bukan sekadar “isu legasi” daripada pentadbiran terdahulu, menurut bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mah Weng Kwai.
Menurut laporan New Straits Times, Mah berkata tanggungjawab kerajaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan melindungi hak rakyat kekal tidak berubah walau siapa pun yang mentadbir.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, yang menyifatkan kedua-dua kes penculikan itu sebagai “isu legasi” yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.
Mah, yang pernah mempengerusikan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kedua-dua kes tersebut, berkata dapatan bahawa Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa itu — yang kini turut disahkan oleh Mahkamah Tinggi — menjadikan isu berkenaan soal akauntabiliti, bukan warisan politik.
“Jika dapatan menunjukkan Cawangan Khas yang bertanggungjawab, dan kini mahkamah juga mengatakan perkara yang sama, maka tidak ada bezanya kerajaan mana yang memerintah,” katanya.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada keluarga Koh bermula dari tarikh kehilangannya pada 13 Februari 2017, selain RM4 juta sebagai ganti rugi am dan RM250,000 kos guaman — menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira RM37 juta. Keluarga Amri turut diperintahkan menerima lebih RM3 juta kerana kegagalan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang sewajarnya.
Susulan keputusan itu, kerajaan memaklum akan memfailkan rayuan.
Mah berkata kerajaan berhak berbuat demikian, sambil menjelaskan bahawa tindakan memfailkan rayuan tidak secara automatik menangguhkan bayaran, melainkan Jabatan Peguam Negara memohon perintah penangguhan.
Sementara itu, jurucakap Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED), Rama Ramanathan, mengkritik langkah kerajaan memfailkan rayuan tersebut.
Beliau menyifatkannya sebagai usaha untuk “mempertahankan perkara yang tidak dapat dipertahankan,” dalam merujuk kepada dakwaan kecuaian serius dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.
Beliau juga mendakwa kerajaan masih enggan mendedahkan laporan pasukan petugas khas serta prosedur operasi standard (SOP) polis dalam menangani kes kehilangan orang, walaupun kedua-duanya telah dirujuk di mahkamah secara terbuka.
Rama menyeru agar keluarga mangsa menggunakan proses rayuan itu sebagai peluang untuk mengukuhkan kes mereka, dengan menyifatkan Mahkamah Rayuan sebagai “institusi kehakiman keempat yang berwibawa” selepas Suhakam, pasukan petugas khas dan Mahkamah Tinggi, dalam mendedahkan kelemahan tindakan kerajaan terhadap kes kehilangan tersebut.
Pastor Koh, pengasas pertubuhan Hope Community, dan Amri, seorang aktivis sosial dari Perlis, diculik dalam dua kejadian berasingan pada 2017 dan 2016.
Siasatan Suhakam sebelum ini mendapati kedua-dua kes mempunyai persamaan ketara, termasuk penggunaan sumber dan penyelarasan oleh Cawangan Khas.
– BTSMedia.my



