BTS Media

Peguam ambil tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung siasatan terhadap hakim kanan

Sekumpulan peguam telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan badan itu terhadap hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam – Haris Ibrahim, Nur Ain Mustapa dan Sreekant Pillai – memfailkan saman pemula menamakan SPRM, ketua pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki dan kerajaan – sebagai defendan.

Satu kenyataan daripada Tetuan Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kumpulan peguam itu berkata siasatan terhadap Mohd Nazlan melanggar doktrin pengasingan kuasa kerana badan kehakiman adalah cabang kerajaan yang bebas.

Mereka memohon pengisytiharan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan bercanggah dengan perlembagaan.

Kumpulan peguam itu turut memohon pengisytiharan bahawa Pendakwa Raya tidak diberi kuasa untuk memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

“Kami juga memfailkan permohonan untuk merujuk dua soalan perlembagaan berhubung relif yang dipohon ke Mahkamah Persekutuan,” kata mereka itu dalam satu kenyataan pada Jumaat (6 Mei).

Mereka menegaskan bahawa perkara sangat penting itu memberi kesan kepada semua orang di negara ini.

Ini kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap orang mendapat akses kepada keadilan ditadbir oleh Badan Kehakiman yang bebas daripada sebarang campur tangan.

Mereka tidak menafikan bahawa seperti semua orang, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, serba kebal dari siasatan atau pendakwaan jenayah, dan mereka harus dipertanggungjawabkan jika bersabit apa-apa jenayah yang mereka mungkin telah lakukan.

Bagaimanapun, mereka berkata kuasa untuk menyiasat dan memulakan prosiding jenayah mesti seimbang dengan keperluan bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman tidak terhakis.

Tambah mereka lagi, Perlembagaan menyediakan mekanisme untuk memastikan akauntabiliti hakim tanpa menjejaskan keyakinan awam.

Mekanisme itu melibatkan aduan secara bertulis kepada Ketua Hakim Negara dan, jika aduan memerlukan penyingkiran hakim, sebuah tribunal harus dilantik.

“Sementara itu, hakim berkenaan boleh digantung tugas,” kata mereka.

Dakwaan ugutan dan campur tangan kehakiman timbul berikutan pendapat yang berbeza mengenai siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.

Siasatan SPRM dibuat berikutan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa terdapat dana dipindahkan ke akaun Mohd Nazlan semasa beliau menjadi peguam kumpulan dan setiausaha syarikat Maybank.

Azam berkata siasatan itu dimulakan oleh SPRM kerana laporan dibuat mengenai perkara tersebut.

Mohd Nazlan adalah hakim yang mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas tuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mohd Nazlan membuat laporan polis terhadap Raja Petra pada 21 April, dan menafikan tuduhan yang dikatakannya berniat jahat, tidak berasas dan bertujuan mencemarkan kredibilitinya sebagai hakim.

BTS Media.

Leave a Comment