BTS Media

SPRM digesa sah dahulu dakwaan RPK sebelum umum siasatan terhadap hakim

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipersoalkan sama ada telah menyiasat terlebih dahulu dengan teliti kesahihan dakwaan penulis blog Raja Petra Kamaruddin (RPK) sebelum bertindak terhadap hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Kumpulan sivil G25 melalui kenyataan pada Khamis (28 April) berkata ia memberikan kesan besar terhadap integriti badan kehakiman Malaysia dan kebebasannya sebagai antara tunjang penegak kedaulatan undang-undang sekiranya SPRM meneruskan siasatan.

Menurut G25 perkara ini perlu ditangani secara berhati-hati supaya tidak menimbulkan fitnah terhadap hakim atau menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap Badan Kehakiman.

Badan kehakiman sendiri mendapati tiada sebab untuk mengesyaki integriti hakim berkenaan.

G25 turut mempersoalkan sama ada telah menjalan siasatan rapi berhubung kesahihan dakwaan RPK itu, sebelum mengeluarkan kenyataan media.

Ini memandangkan pihak badan kehakiman sendiri mendapati tiada sebab untuk mengesyaki integriti hakim berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi sebarang percubaan oleh sebuah pihak berkuasa kerajaan untuk melangkaui fungsinya dengan mengabaikan kebebasan badan kehakiman di bawah perlembagaan akan memberikan implikasi serius dalam negara dan di mata dunia berhubung doktrin pengasingan kuasa antara tiga tonggak kerajaan, iaitu perundangan, eksekutif dan badan kehakiman.

G25 berkata SPRM tidak boleh cuba menunjuk kuasa kerana dengan berbuat demikian ia hanya merosakkan imej sendiri sebagai badan yang diberikan kepercayaan untuk menangani rasuah di negara ini.

Badan sivil itu juga melahirkan kebimbangan bahawa tindakan SPRM menyiasat hakim Mahkamah Rayuan itu akan dilihat sebagai percubaan pihak berkuasa untuk menakut-nakutkan badan kehakiman kerana terlalu bebas dalam membuat penghakiman terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang telah mendengar perbicaraan bekas Najib Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd milik kerajaan, dan kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

SPRM baru-baru ini berkata siasatan adalah kerana laporan dibuat secara rasmi.

Ia berikutan tindakan RPK menyiarkan beberapa post terhadap Nazlan dalam blognya.

Berikutan itu, Nazlan baru-baru ini membuat laporan polis menyatakan bahawa apa yang ditulis oleh RPK pada 20 April mengandungi dakwaan “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” yang bertujuan mengganggu sistem keadilan dan badan kehakiman.

Serangan dalam talian terhadap Nazlan sebagai hakim perbicaraan kes SRC bermula sejak lebih satu tahun setengah selepas keputusan pada Julai 2020 mendapati Najib bersalah, iaitu lebih kurang tiga bulan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 8 Disember lepas.

Kelmarin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata badan kehakiman bukannya tidak boleh dikritik, tetapi orang ramai, termasuk ahli politik, tidak sepatutnya melancarkan serangan tidak berasas terhadap hakim dan menjejaskan keyakinan terhadap mahkamah untuk kepentingan agenda mereka.

SPRM semalam ( 28 April) bagaimanapun menegaskan bahawa hakim di negara ini juga terletak di bawah bidang kuasa penjawat awam dan ia (SPRM) mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan salah guna kuasa.

-BTS Media

Leave a Comment