BTS Media

Polis mula siasatan, kesan pihak buat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara

POLIS akan menyiasat segera ugutan terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat walaupun tiada laporan polis dibuat.

Menyifatkan perkara ini sebagai serius, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata  Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) persekutuan akan mengesan pihak yang membuat ancaman itu dalam media Twitter dan Facebook.

“Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara, dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT),” katanya pada Jumaat.

“PDRM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu-gugat keamanan,” katanya.

Beliau menambah bahawa polis juga sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengesan individu terbabit.

Tengku Maimun mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam bela Najib untuk mengemukakan bukti baharu dan penangguhan pendengaran rayuan  dipersoal dan dikritik oleh penyokong Najib dan beberapa pihak dalam UMNO.

Turut diserang, suami Tengku Maimun Datuk Zamani Ibrahim.

Satu catatan Twitter memberi amaran tentang “pertumpahan darah” dan menggesa Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar kes itu.

-BTS Media

Leave a Comment