BTS Media

Annuar Musa ambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu kerana tuduhan palsu ‘jual’ Menara KL

GAMBAR ATAS: BTS Media.my.

 

Oleh Fetty Rara

BEKAS menteri komunikasi dan multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata beliau telah difitnah dengan dalam beberapa catatan dalam talian yang menjejaskan imej dan nama baiknya.

Selepas berunding dengan peguamnya, Annuar memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu.

Dalam satu tweet, beliau berkata beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Adrian Lim Chee En, K Pragalath Kumar dan Mohd Razlan Rafii.

Annuar menambah bahawa terdapat juga pihak lain yang menyembunyikan identiti  mereka apabila menyiarkan maklumat palsu berhubung perkara itu.

Beliau berkata, perkara itu telah diserahkan pasukan peguamnya untuk meneruskan tindakan mengikut undang-undang.

Annuar menambah, semua perkara yang melibatkan kepentingan negara perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa, manakala semua pihak perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dan tidak campur tangan dengan menyebarkan berita palsu dan fitnah.

Minggu lalu, Telekom Malaysia (TM) telah menyatakan bahawa ia telah memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi Menara KL pada Oktober 2021, dan telah memaklumkan keputusan itu kepada kerajaan, lapor portal Soya Cincau.

Proses pemilihan pemegang konsesi baharu telah diambil oleh kerajaan dan TM dimaklumkan mengenai syarikat yang baharu dilantik itu untuk mengambil alih saham Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan konsesi MKL pada 2022.

Penjualan 100 peratus saham dalam MKLSB untuk RM3.8 juta diumumkan semasa kemas kini kewangan Suku Ketiga 2022 TM.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Annuar Musa berkata kuasa untuk meluluskan tender konsesi MKL terletak di tangan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) yang berada di bawah bidang kuasa Mustapa Mohamed.

Beliau dilaporkan berkata bahawa pada mulanya hanya ada satu syarikat dan beliau memberitahu mereka untuk membuka pemilihan kepada lebih banyak syarikat.

Tambahnya, dua atau tiga orang individu telah menyampaikan surat cadangan yang kemudian diserahkan kepada pihak pentadbiran.

Annuar menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan tender tersebut kerana ia di bawah UKAS dan Mustapa. Beliau juga menafikan mengetahui atau rapat dengan pihak pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd.

Sementara itu, Hydroshoppe juga berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat palsu mengenai firma dan syarikat itu.

Menara KL yang  terletak di atas 5 lot tanah Persekutuan di Bukit Nanas dimiliki oleh kerajaan, dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd merupakan syarikat yang mempunyai hak untuk mengendali, mengurus dan menyelenggarakan menara tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment