PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyuarakan rasa terkilan apabila peguam Zahid Hamidi memohon penangguhan dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan presiden Umno dalam kes rasuah berkaitan sistem visa luar negara (VLN).
Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata beliau menghabiskan beberapa hari membaca nota prosiding di Mahkamah Tinggi hanya untuk lebih memahami kes itu.
“Ia mencecah lebih 1,000 muka surat. Saya tidak memberi tumpuan kepada kes lain. Memandangkan pihak pendakwaan tidak ada bantahan terhadap penangguhan itu, saya tidak mahu berkata apa-apa lagi,” katanya.
Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah, berkata pihak mahkamah memberi penangguhan lebih lama untuk pihak pendakwaan menangani representasi Zahid.
Pendengaran rayuan kini telah ditetapkan pada 9 Sept.
Terdahulu, peguam utama Zahid Hisyam Teh Poh Teik memohon perbicaraan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan kerana mereka telah menghantar representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara pada 7 Feb.
“Ia mesti diberi pertimbangan yang adil dan saksama,” katanya.
Representasi pertama dihantar pada Januari tahun lepas.