BTS Media

Teliti keputusan hakim sebelum rayu pembebasan Zahid, kata peguam negara

PIHAK pendakwa raya akan meneliti penghakiman hakim mahkamah tinggi yang membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 tuduhan rasuah, kata Peguam Negara, Idrus Harun.

“Saya akan berbincang dengan pasukan pendakwaan dan meneliti asas yang dibuat oleh hakim,” katanya kepada FMT menerusi teks ringkas.

Hakim Mahkamah Tinggi, Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

“Kegagalan pendakwaan membuktikan elemen penting dalam setiap tuduhan terhadap tertuduh seperti resit wang rasuah itu dan penilaian maksimum terhadap semua bukti, saya dapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tuduhan,” kata Yazid dalam penghakimannya.

Katanya, penghakiman penuh akan dikeluarkan pada Isnin ini.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Zahid masih berdepan 35 tuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait pengubahan wang haram dan pecah amanah membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi dan kerana menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Peguam Guok Ngek Seong, berkata, pihak pendakwaan mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan bermula hari ini.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/09/23/teliti-keputusan-hakim-sebelum-rayu-pembebasan-zahid-kata-peguam-negara/

Leave a Comment