PRESIDEN Ferdinand Marcos Jr. telah meluluskan pengisytiharan darurat bencana di seluruh Filipina susulan kemusnahan besar akibat Taufan Tino (Kalmaegi) serta jangkaan impak daripada Super Taufan Uwan yang sedang menghampiri negara itu
Keputusan itu dibuat selepas menerima syor daripada Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) dalam satu taklimat yang diadakan di Quezon City pada hari Khamis.
Marcos bersetuju dengan cadangan tersebut, dan berkata bahawa skala kerosakan dan jumlah wilayah yang terjejas memerlukan pengisytiharan darurat di seluruh negara.
Hampir sepuluh hingga dua belas wilayah telah atau dijangka akan terjejas akibat dua fenomena cuaca dahsyat itu.
Pengisytiharan itu akan membolehkan agensi kerajaan mengakses dana kecemasan serta mempercepatkan perolehan bekalan dan perkhidmatan penting bagi membantu komuniti yang terjejas.
Pihak berkuasa berkata, sementara operasi bantuan untuk mangsa Taufan Tino masih diteruskan, persiapan kini giat dijalankan bagi menghadapi kemungkinan Taufan Uwan melanda.
Sehingga pagi hati Khamis, Timbalan Jurucakap Pejabat Pertahanan Awam (OCD), Diego Mariano mengesahkan sekurang-kurangnya 114 orang maut di wilayah Cebu akibat Taufan Tino.
Sementara itu, Pentadbiran Perkhidmatan Astronomi, Geofizik dan Atmosfera Filipina (PAGASA) berkata kemungkinan Uwan bertukar menjadi taufan besar dan melanda tanah besar Filipina kini semakin meningkat.
Taufan Uwan, yang kali terakhir dikesan berada jarak 1,985 kilometer di timur laut Mindanao, bergerak ke arah barat pada kelajuan 20 kilometer sejam sebelum beralih ke arah barat Filipina.
-BTSMedia.my



