TREND melibatkan majikan enggan mendaftarkan pekerja atau membuat caruman wajib kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), semakin membimbangkan.
Ia sekali gus melanggar undang-undang buruh dan menafikan hak serta perlindungan asas pekerja.
Dari bulan Januari hingga September, sebanyak 501 kompaun berjumlah RM2.87 juta dikeluarkan di Semenanjung Malaysia atas kesalahan termasuk kegagalan membuat caruman Perkeso dan KWSP serta ketidakpatuhan terhadap perintah gaji minimum.
Siasatan turut mendedahkan terdapat majikan yang memperalatkan pekerja sambilan dan sementara dengan mendakwa mereka dikecualikan daripada caruman statutori, meskipun peruntukan undang-undang jelas menyatakan sebaliknya.
Menurut statistik Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), sebanyak 490 kertas siasatan telah dibuka, dan 353 kes diluluskan untuk pendakwaan di mahkamah, dengan jumlah denda sebanyak RM138,000. Hasil kutipan denda disalurkan kembali kepada pekerja yang membuat aduan.
Kenyataan itu dibuat susulan operasi penguatkuasaan bersepadu, Op Kurier, di kawasan perindustrian Pulau Indah, Selangor berikutan aduan pelanggaran undang-undang buruh.
Pemeriksaan berkenaan bertujuan memastikan majikan mematuhi peraturan berkaitan gaji minimum dan standard perumahan pekerja.
Setakat 1 November, sebanyak 488 operasi penguatkuasaan telah dijalankan di seluruh negara di bawah JTKSM, dengan pemantauan dan tindakan susulan akan diteruskan.
 – BTSMedia.my



