BTS Media

Zoo New Zealand terdesak minta sumbangan lembu, kuda untuk diberi makan kepada singa tua

SEBUAH zoo di New Zealand berdepan krisis kewangan yang serius sehingga terpaksa memohon sumbangan lembu dan kuda untuk diberi makan kepada lima ekor singa tua dalam kurungan. Sekiranya tiada bantuan, haiwan tersebut akan dibunuh.

Menurut CBS News, Kamo Wildlife Sanctuary yang terletak di Whangārei, utara New Zealand, mengumumkan penutupan secara kekal selepas gagal menampung kos penyelenggaraan.

Lima ekor singanya – Shikira, Cleo, Abdullah, Timba dan Themba, kini dalam bahaya selepas dua singa lain, Imvula dan Sibili, terpaksa ditidurkan pada 3 November akibat masalah kesihatan.

Pengarah zoo, Janette Vallance, menyifatkan keadaan itu amat sukar dan menjelaskan bahawa mereka tiada lagi pilihan. Dia berkata seluruh kakitangan berasa amat sedih.

Jurucakap zoo itu memaklumkan bahawa tidak dapat memindahkan singa-singa tersebut ke zoo lain kerana semua zoo di New Zealand tidak dapat membantu.

Penjagaan haiwan besar seperti singa melibatkan kos amat tinggi, termasuk makanan, suplemen, rawatan veterinar, penyelenggaraan kawasan serta tenaga kerja berpengalaman.

Bagi mengurangkan beban kewangan, pihak zoo berkenaan memohon sumbangan haiwan ternakan seperti lembu atau kuda.

Pada masa ini, zoo tersebut masih menempatkan 12 ekor singa dan seekor harimau Bengal.

Kebanyakan haiwan besar itu dibawa masuk dari luar negara ketika berusia antara enam bulan hingga tiga tahun.

Pada awal tahun 2000-an, zoo itu pernah menempatkan sehingga 33 ekor spesis singa dan beberapa spesis harimau.

Dengan kos yang terus meningkat dan sumber semakin berkurangan, Kamo Wildlife Sanctuary kini berada di penghujung operasinya. Keadaan ini turut menyorot cabaran berterusan dalam usaha menjaga hidupan liar dalam kurungan pada zaman ini.

-BTSMedia.my

Leave a Comment