BTS Media

Zoo Thai hadkan lima minit untuk pengunjung melihat anak badak air sensasi, Moo Deng

GAMBAR: Zoo Khao Kheow

PENGUNJUNG ke zoo terbuka Khao Kheow di wilayah Chonburi, Thailand kini dihadkan masa untuk menyaksikan anak badak air betina, Moo Deng yang menjadi sensasi sejak kebelakangan ini.

Mereka hanya berpeluang menyaksikan haiwan comel itu pada hujung minggu dan selama hanya lima minit bagi setiap tontonan.

Ini diumumkan oleh pengurusan zoo tersebut melalui media sosial pada 15 Sept lalu.

Saiz kumpulan pengunjung pula dihadkan antara 30 dan 50 orang pada satu masa, lapor akhbar Bangkok Post.

Zoo itu juga dilapor akan melancarkan strim langsung 24 jam anak badak yang baru berusia dua bulan itu.

Moo Deng muncul sebagai sensasi Internet dengan jutaan peminat di media sosial sejak penampilan pertamanya pada 25 Julai.

Berikutan itu, zoo berkenaan telah menyaksikan kira-kira 3,500 orang pengunjung pada hari biasa dan sehingga 20,000 pengunjung pada hujung minggu, kata pengarah zoo Narungwit Chodchoy.

Bagaimanapun masalahnya, apabila sesetengah pengunjung didapati membaling objek dan mencurahkan air ke arah Moo Deng walaupun dia sedang tidur.

-BTS Media

Leave a Comment