GAMBAR ATAS: US Navy, Public domain, via Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
New Zealand pada Rabu berkata negara itu akan mengekalkan tenteranya di Kepulauan Solomon sehingga sekurang-kurangnya Mei 2023.
Perkembangan terbaharu ini adalah berikutan kebimbangan dalam kalangan sekutu Barat tentang kehadiran tentera dan aset China yang semakin meningkat di Pasifik Selatan.
New Zealand menghantar tentera ke Kepulauan Solomon atas permintaan kerajaan negara itu pada akhir 2021 selepas rusuhan tercetus di ibu kota negara, Honiara.
Tentera New Zealand merupakan sebahagian daripada Pasukan Bantuan Antarabangsa Kepulauan Solomon yang dianggotai oleh Fiji, Australia dan Papua New Guinea.
Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta dalam satu kenyataan berkata perkongsian itu adalah demi keamanan yang bukan sahaja melalui kerjasama keselamatan, tetapi juga bagi menangani cabaran ekonomi, perubahan iklim dan pelbagai keperluan pembangunan serantau.
Mahuta berkata demikian sebagai mengulas perbincangan dalam talian beliau bersama menteri hal ehwal luar negeri dan perdagangan luar Kepulauan Solomon Jeremiah Manele pada Rabu.
Satu kenyataan daripada kementerian luar negeri dan perdagangan New Zealand berkata Mahuta telah mengulangi kebimbangan mengenai perjanjian keselamatan yang ditandatangani baru-baru ini antara Kepulauan Solomon dan China dan mengalu-alukan jaminan yang diberikan oleh Manele bahawa ia tidak akan membawa kepada pembinaan pangkalan tentera di negara itu.
-BTS Media