GAMBAR ATAS: mofa.gov.tw / Wikimedia Commons
Oleh Yusoff A. Shariff
LAWATAN dua hari oleh Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi ke Taiwan pada 2 Ogos didakwa melanggar prinsip Satu China dan Tiga Amanat (One China dan Three Communiqués), kata Duta Khas Perdana Menteri Ke China Datuk Seri Tiong King Sing.
Mengecam lawatan Pelosi ke Taiwan, Tiong juga mendakwa tindakan itu memburukkan lagi ketidakstabilan di rantau ini.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat (5 Ogos), beliau berkata dunia belum pun pulih daripada kesan pandemik Covid-19, ditambah lagi dengan konflik Rusia-Ukraine, justeru memaksa semua negara bergelut untuk memulihkan ekonomi dan mengekalkan keamanan.
Beliau berkata pada saat genting ini, adalah penting untuk melakukan segala yang termampu untuk mengekal, menstabil dan menyatukan masyarakat antarabangsa dan mengelak daripada semua tindakan yang boleh membawa perpecahan.
Katanya, masyarakat antarabangsa perlu memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan bukannya menyemarakkan lagi api permusuhan.
Menurut Tiong, sejak tercetusnya perang Rusia-Ukraine, setiap negara di dunia kini menyedari kerosakan besar yang dibawa oleh konflik sebegitu ke atas orde dunia, termasuk krisis makanan, lonjakan harga minyak, gangguan rantaian bekalan, dan kemelesetan ekonomi.
Oleh itu, semua kuasa antarabangsa ini perlu menyedari bahawa kemudaratan akibat pertikaian yang tidak perlu ini menjejaskan seluruh dunia, justeru membantutkan ekonomi semua negara, sama ada negara maju mahu pun yang membangun.
Duta Khas itu mengulangi komitmen Malaysia dan China untuk menghormati kemerdekaan negara, kedaulatan dan integriti wilayah masing-masing.
Beliau berkata, “Kami sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Satu China’. Kerajaan Republik Rakyat China ialah satu-satunya kerajaan yang sah mewakili seluruh China, dan kami menyokong pembangunan aman dan kewujudan bersama yang harmoni dalam hubungan rentas selat.”
-BTS Media