GAMBAR ATAS: Facebook Hamzah Zainuddin.
Kaedah dan mekanisme melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) sumbangan politik perlu diteliti sebelum ia diluluskan, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.
Beliau berkata perkara itu amat penting bagi memastikan undang-undang itu efektif untuk jangka masa panjang serta mengelak berlaku kelonggaran.
“Sesuatu yang hendak kita lakukan, kita tidak boleh ada ‘flip flop’, sekarang boleh guna, esok tak boleh guna, biar kita boleh pastikan RUU itu boleh digunakan sampai bila-bila,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) bagi Program Rawatan Dan Pemulihan Penagihan Dadah AADK (MRT AADK), di sini.
Hamzah berkata, penelitian kaedah dan mekanisme penguatkuasaan RUU itu perlu diketuai oleh satu pasukan pakar.
Sesuatu yang kita lakukan dari segi polisinya baik
“Sesuatu yang kita lakukan dari segi polisinya baik tapi dari segi perinciannya harus diberikan kepada sesuatu pasukan bukan hanya daripada AGC (Jabatan Peguam Negara), agensi tetapi juga dalam kalangan mereka berpengalaman,” katanya.
Semalam, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bermesyuarat mengenai cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan RUU sumbangan politik yang turut disertai Hamzah.
Selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri, Ismail Sabri mengumumkan skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawalseliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Kata Ismail, RUU itu perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti politik.