BTS Media

Pilihan raya awal tidak akan mudah segalanya, kata PM

GAMBAR ATAS: PMO.

 

Oleh Zainal AS Rashid

TEKANAN ekonomi global boleh mempercepatkan garis masa untuk pilihan raya umum akan datang, saran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam satu wawancara semalam (22 Ogos).

Beliau memberitahu beberapa media antarabangsa dan Nikkei Asia, sekiranya ekonomi tidak baik, PRU tidak boleh dilewatkan hingga tahun depan, kerana ia akan menimbulkan masalah kepada kerajaan

Penggal Parlimen akan tamat pada Julai 2023, tetapi Ismail memberi amaran bahawa masalah seperti perang Ukraine-Rusia, peraturan dasar sifar Covid-19 sempadan China, dan risiko berlaku kemelesetan di Amerika Syarikat tidak memberikan petanda baik untuk Malaysia.

Bloomberg melaporkan beliau berkata bahawa memandangkan China rakan dagangan terbesar Malaysia, manakala AS pula salah satu pelabur asing terbesar, apabila ekonomi mereka perlahan, ia secara langsung akan memberi kesan kepada pertumbuhan Malaysia.

Beliau berkata prestasi ekonomi Malaysia adalah antara terbaik di Asean, mencatatkan kadar pertumbuhan 8.9 peratus bagi suku kedua, justeru menjadikan pertumbuhan purata KDNK 6.9 peratus bagi separuh pertama.

Walaupun Ismail membayangkan kemungkinan Parlimen dibubarkan sementara ekonomi agak kukuh, beliau bagaimana pun mengakui bahawa segala-galanya tidak mungkin mudah bagi gabungan pemerintah jika ia berlaku.

“Jika tahun ini pun, terdapat banyak isu, termasuk kos sara hidup,” katanya.

Selain itu, isu rayuan terakhir bekas perdana menteri Najib Razak terhadap sabitan rasuah.

Pendengaran rayuan Najib di Mahkamah Persekutuan boleh selesai seawal Selasa, walaupun mahkamah telah menetapkan tarikh sehingga Khamis. Mahkamah mungkin memutuskan untuk memuktamadkan kes itu setelah peguam Najib enggan mengemukakan hujah membantah penafian permintaan penangguhan.

Bagi Ismail, keputusan mahkamah juga boleh menjejaskan peluang UMNO pada PRU15.

Sejak sekian lama, Ismail diasak oleh kalangan ahli UMNO supaya diadakan pilihan raya lebih awal.

Walaupun perdana menteri menunjukkan sedikit tentangan, tetapi beliau mungkin akur memandang keadaan antarabangsa.

Beliau juga mungkin muncul sebagai perdana menteri pertama yang bukan presiden parti sendiri berusaha memanggil pilihan raya.

Ditanya sama ada beliau terganggu dengan politik dalaman, Ismail berkata parti itu “dialu-alukan untuk memberi pendapat” tetapi “apa sahaja yang berlaku tidak menjejaskan tumpuan saya dalam melaksanakan tugas saya, iaitu mengurus rakyat dan negara”.

-BTS Media

Leave a Comment