SEORANG ibu menuntut keadilan selepas anak lelakinya cedera parah dalam kemalangan yang dipercayai melibatkan pemandu mabuk di Klang.
Hamidah Othman berkata anaknya, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, sedang menunggang motosikal di lorong yang betul apabila sebuah kereta dipandu melawan arus merempuh motosikal mangsa.
Menurutnya, anaknya tidak melakukan sebarang kesalahan dan beliau mahu keadilan ditegakkan bukan sahaja untuk anaknya, malah untuk semua orang agar kejadian sama tidak berulang kepada individu lain.
Kemalangan itu menyebabkan Zulfiqar mengalami patah tangan dan kecederaan serius pada tulang belakang. Mangsa telah menjalani pembedahan dan kini masih berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Hamidah berkata anaknya yang bekerja sebagai penasihat perkhidmatan melakukan kerja sambilan sebagai penghantar untuk mengumpul wang bagi majlis perkahwinannya.
Beliau berkata anaknya telah bertunang dan merancang mengadakan majlis persandingan di Pasir Gudang pada bulan Disember ini.
Menurutnya lagi, Zulfiqar hanya membuat penghantaran makanan dan bungkusan secara sambilan menerusi platform Lalamove apabila tidak terlalu letih selepas bekerja tetap.
Pada malam kejadian, mangsa dikatakan sedang membuat penghantaran terakhir ke Bandar Puteri, Puchong sebelum pulang ke rumah.
Sementara itu, pemandu kereta terbabit dijangka didakwa di mahkamah majistret hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 13 Mei ketika kereta tersebut dipandu dari Pelabuhan Klang menuju ke Shah Alam.
Beliau berkata pemandu terbabit dipercayai memandu sejauh 3.5 kilometer melawan arus dalam keadaan mabuk.
Menurutnya, pemandu itu juga dipercayai memandu laju sebelum merempuh motosikal mangsa.
Hasil semakan polis mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau penyalahgunaan dadah sebelum ini, manakala ujian saringan mengesahkan lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol.
-BTSMedia.my



