BTS Media

Yap Ah Loy bukan buka Kuala Lumpur, tapi hanya bangunkan semula

BUKU-BUKU sejarah yang merekodkan kononnya Yap Ah Loy sebagai pengasas Kuala Lumpur adalah tidak benar. Dia hanya membangunkan semula bandar itu selepas hampir musnah akibat Perang Klang.

Menurut cicit generasi kelimanya, Glenn Yap, sumbangan terbesar Yap Ah Loy adalah usaha memulihkan Kuala Lumpur selepas bandar itu mengalami kemusnahan teruk semasa perang saudara berkenaan.

Beliau berkata Yap Ah Loy berjaya membina semula Kuala Lumpur selepas bandar itu hancur sepenuhnya ketika Perang Klang, dan perkara itulah yang dianggap sesetengah pihak sebagai sumbangan  luar biasanya.

Glenn berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Life and Legacy of Yap Ah Loy yang dianjurkan oleh Badan Warisan Malaysia pada 10 Mei lalu.

Menurut Glenn, Yap Ah Loy yang berasal dari Guangdong, China berhijrah ke Tanah Melayu ketika muda untuk mencari peluang kehidupan lebih baik. Pada peringkat awal, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk kehilangan wang perjalanan akibat berjudi ketika berusia 17 tahun sehingga terpaksa berjalan kaki ke utara sebelum tiba di Sungai Ujong, Negeri Sembilan.

Di sana, beliau bertemu Liu Ngim Kong yang kemudian memainkan peranan penting dalam perkembangan wilayah tersebut. Yap Ah Loy pada mulanya bekerja sebagai tukang masak sebelum menunjukkan bakat dalam perniagaan menerusi aktiviti perdagangan barangan lebihan, penternakan dan industri perlombongan bijih timah.

Glenn berkata Liu Ngim Kong kemudian melantik Yap Ah Loy sebagai Kapitan Sungai Ujong selepas kematian Shen Ming Li, sekali gus memegang jawatan kepimpinan rasmi -jawatan pertama yang disandangnya.

Tidak lama kemudian, Yap Ah Loy mengikuti Liu Ngim Kong ke Kuala Lumpur dan secara rasmi dilantik sebagai Kapitan Cina pada tahun 1869.

Menurut Glenn, cabaran terbesar Yap Ah Loy berlaku semasa Perang Klang yang berlangsung kira-kira enam tahun dan melibatkan pelbagai pihak termasuk pembesar Melayu, kepentingan perlombongan serta kumpulan Cina yang bersaing.

Beliau berkata kemuncak konflik pada tahun 1873 menyebabkan Kuala Lumpur musnah teruk apabila deretan kedai dan rumah ranap sehingga bandar itu dipenuhi lumpur serta runtuhan.

Katanya, ketika itu tiada sistem perparitan, infrastruktur atau penempatan yang berfungsi menyebabkan ramai penduduk melarikan diri ke Taiping, Perak dan bandar perlombongan lain untuk mencari kehidupan baharu.

Glenn berkata Yap Ah Loy bagaimanapun berusaha memujuk penduduk supaya kekal tinggal di Kuala Lumpur kerana percaya bandar itu masih mempunyai potensi besar.

Menurutnya, usaha membangunkan semula bandar tersebut menelan kos peribadi yang sangat tinggi apabila Yap Ah Loy membelanjakan sebahagian besar hartanya untuk membiayai tentera, bekalan dan kebajikan sepanjang perang.

Beliau berkata Yap Ah Loy terpaksa membuat pinjaman daripada tiga pihak berasingan bagi membiayai proses pemulihan, malah ada pinjaman dikenakan kadar faedah sehingga 50 peratus.

Tambah Glenn, pemulihan Kuala Lumpur mula menunjukkan perkembangan sekitar tahun 1878 dan 1879 apabila harga bijih timah dunia meningkat, sekali gus membantu memulihkan ekonomi bandar dan kedudukan kewangan Yap Ah Loy.

Pada ketika itu, Yap Ah Loy menjadi antara pemilik hartanah terbesar di Kuala Lumpur dengan menguasai hampir dua pertiga kawasan bandar termasuk lebih sedozen lombong serta sebahagian besar pusat perdagangan Medan Pasar.

Dia turut membuka kilang bata di kawasan yang kemudian dikenali sebagai Brickfields selain mendirikan kilang ubi kayu di sepanjang Jalan Petaling, yang turut menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk.

Glenn berkata antara sumbangan kurang diketahui Yap Ah Loy ialah penubuhan sekolah Cina pertama di Kuala Lumpur di High Street yang kini dikenali sebagai Jalan Bandar.

Menurutnya, Yap Ah Loy menggunakan wang sendiri melebihi 500 dolar untuk membangunkan sekolah tersebut selain membantu mendapatkan guru besar dan menyokong perkembangan awal institusi itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Yap Ah Loy memainkan peranan dalam pembangunan kemudahan kesihatan awal di Kuala Lumpur menerusi penubuhan hospital pertama yang ketika itu lebih menyerupai rumah perlindungan.

Katanya, kemudahan perubatan moden masih terhad dan masyarakat ketika itu lebih mempercayai perubatan tradisional Cina, namun hospital berkenaan berjaya meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

Selain itu, Glenn berkata Yap Ah Loy turut menyumbang kepada pembinaan jalan utama termasuk Jalan Ampang, Batu Road, Damansara Road dan sebahagian laluan yang kemudian menjadi Lebuhraya Persekutuan menuju ke kawasan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Beliau menambah bahawa sumbangan paling berkekalan Yap Ah Loy ialah penubuhan Tokong Sin Sze Si Ya di Jalan Tun H.S. Lee yang sehingga kini terus menarik perhatian penyelidik dan pelancong dari China.

Menurut Glenn, kuil Tao tertua di Kuala Lumpur itu masih dikunjungi ramai pengunjung yang berminat mengkaji warisan, seni bina dan sejarah masyarakat Cina di ibu negara.

-BTSMedia.my

Leave a Comment