BTS Media

Istana Pahang tuju pantun kepada Anwar berhubung isu peruntukan negeri

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berhubung peruntukan pusat kepada negeri Pahang.

Dalam satu kenyataan media malam tadi, baginda menegaskan bahawa negeri Pahang wajar diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama oleh kerajaan pusat.

Kenyataan ringkas yang julung kali dikeluarkan itu turut memuatkan pantun lama berbunyi, “Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati,” tanpa sebarang penjelasan lanjut, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan.

Terdahulu, Anwar berkata beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, menyediakan penjelasan menyeluruh mengenai peruntukan pusat kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal.

Menurut beliau, Tengku Mahkota Pahang juga akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa serta isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

Anwar berkata beliau menghormati Tengku Mahkota Pahang, namun menegaskan bahawa peruntukan kepada negeri itu adalah besar dan bukan kecil. Beliau turut meminta supaya penjelasan lengkap mengenai peruntukan negeri serta keadaan ekonomi semasa disediakan untuk penelitian lanjut.

Terdahulu, ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang ke-15, Tengku Hassanal mempersoalkan peruntukan pusat kepada negeri itu.

Baginda bertitah bahawa Pahang menerima kelulusan bagi 133 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan nilai keseluruhan RM3.386 bilion.

Menurut baginda lagi, setiap sen peruntukan perlu dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat, selain menegaskan bahawa baginda tidak mahu melihat berlaku ketirisan, kelewatan atau pembaziran dalam pelaksanaan projek.

Tengku Hassanal turut menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan pusat yang tidak meluluskan usaha kerajaan negeri Pahang untuk menambah hasil negeri, termasuk melalui eksport pasir sungai.

 

-BTSMedia.my

Leave a Comment