BTS Media

RM50 juta belum dibayar, Shafee masih belum terima arahan Najib

STATUS pembayaran denda RM50 juta yang perlu dijelaskan Najib Razak bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah masih belum diketahui pasukan pembelaannya.

Peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah, berkata beliau belum menerima sebarang maklumat atau arahan berhubung pembayaran berkenaan setakat ini.

Ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada hari Rabu, Shafee menjawab ringkas bahawa perkara itu belum dibincangkan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, turut memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui perkembangan terkini pembayaran berkenaan kerana belum menerima sebarang arahan daripada anak guamnya.

Laporan sebelum ini menyebut Najib dijangka membuat pembayaran RM50 juta itu melalui wakil, namun pasukan pembelaannya masih belum menerima arahan lanjut mengenai urusan tersebut.

Pada 18 September lalu, dilaporkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pelaksanaan perintah itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Susulan perkembangan tersebut, UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi mengumpulkan dana berkenaan, memandangkan aset peribadi dan keluarga Najib masih dibekukan.

Pada 25 September lalu, Shafee memberitahu pemberita bahawa Najib tidak mempunyai wang RM50 juta yang diperlukan untuk memenuhi syarat berkenaan.

Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada bulan Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada bulan Disember 2021 serta Mahkamah Persekutuan pada bulan Ogos 2022.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat ke-61 pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

-BTSMedia.my

Leave a Comment