BEKAS perdana menteri Najib Razak telah mengisytiharkan aset bernilai RM4.49 juta kepada Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Pengisytiharan itu dibuat melalui afidavit tambahan yang difailkan di mahkamah sebagai sebahagian daripada injunksi Mareva terhadapnya dalam tuntutan mahkamah yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd.
Pada 24 Mac, SRC International dan Gandingan Mentari memperoleh injunksi Mareva untuk menghalang Najib daripada memindah atau melupuskan mana-mana asetnya berjumlah RM42 juta.
Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang defendan daripada melupuskan aset sehingga penentuan kes antara plaintif dan defendan.
Mahkamah mengarahkan bahawa Najib, 69, tidak boleh mengeluarkan, melupus, berurusan atau mengurangkan nilai mana-mana aset di dalam dan di luar Malaysia sehingga nilai RM42 juta, sementara menunggu penentuan muktamad saman itu.
-BTS Media