RUMAH mungkin menjadi alamat baharu untuk Najib Razak menjalani baki hukuman kes SRC International, tetapi di luar empat dinding itu masih menanti rangkaian kes, rayuan, denda dan tuntutan kewangan yang nilainya mencecah puluhan bilion ringgit.
Keputusan terbaharu Lembaga Pengampunan memberi bekas perdana menteri itu pengampunan bersyarat serta membolehkan baki hukuman penjara dijalani di bawah tahanan rumah. Hukuman berkenaan sebelum ini dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda asal RM210 juta dipotong kepada RM50 juta.
Bagaimanapun, pengampunan itu hanya berkaitan sabitan dalam kes SRC International dan tidak menghapuskan kes-kes lain yang masih dihadapi Najib.
Antara yang paling besar ialah kes 1MDB, apabila beliau pada bulan Disember 2025 dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion selepas disabitkan atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Jika denda itu gagal dibayar, hukuman penjara tambahan sehingga 40 tahun boleh dikenakan. Kes itu kini dalam proses rayuan dan turut membabitkan perintah mendapatkan semula aset berjumlah RM2.08 bilion.
Najib juga berdepan tuntutan sivil AS$1.3 bilion (kira-kira RM5.25 bilion), selepas kalah dalam saman yang difailkan SRC International di Mahkamah Tinggi.
Belum selesai juga, enam pertuduhan pecah amanah membabitkan RM6.6 bilion dana kerajaan yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company serta kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta milik SRC International.
Bagi cukai puka, Lembaga Hasil Dalam Negeri menuntut RM1.69 bilion daripada Najib berdasarkan taksiran tambahan cukai pendapatan dan penalti bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.
Pada 4 September, Mahkamah Rayuan membenarkan beliau menangguhkan tindakan kebankrapan oleh LHDN sementara menunggu keputusan prosiding di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan.
Justeru, perubahan daripada penjara kepada tahanan rumah tidak bermakna keseluruhan kemelut perundangan Najib berakhir.
Bagi kes SRC International, alamat tempat menjalani hukuman mungkin berubah, tetapi senarai pertikaian undang-undang yang masih belum selesai kekal panjang.
-BTSMedia.my



