SAHAM syarikat teknologi gergasi Google mencatatkan kejatuhan harian paling buruk dalam sejarah pada hari Khamis, apabila pelabur mula mempersoalkan kesan sebenar peralihan besar-besaran industri teknologi kepada kecerdasan buatan (AI) terhadap model perniagaan dan keuntungan syarikat itu.
Kejatuhan sebanyak 12 peratus itu menghapuskan kira-kira AS$500 bilion (RM2.1 trilion) daripada nilai pasaran syarikat induknya, Alphabet, sekali gus menjadi kehilangan nilai pasaran kedua terbesar pernah dialami sebuah syarikat di Amerika Syarikat (AS), lapor WSJ
Prestasi buruk saham Google turut menyeret turun pasaran saham teknologi AS, dengan indeks Nasdaq Composite merosot 1.4 peratus. Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan bahawa perbelanjaan besar-besaran untuk membangunkan infrastruktur AI mungkin semakin mengatasi pulangan yang mampu dijana.
Kebimbangan pelabur tercetus selepas Google melaporkan keputusan kewangan suku ketiga yang menunjukkan prestasi lebih lemah daripada jangkaan bagi unit Google Services, yang merangkumi pengiklanan carian, YouTube dan perkhidmatan langganan.
Unit berkenaan merekodkan pendapatan AS$96.3 bilion berbanding unjuran penganalisis Wall Street sebanyak AS$98.5 bilion.
Lebih membimbangkan, pertumbuhan pendapatan Google Search turut menunjukkan tanda-tanda kelembapan apabila hanya meningkat 12 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, berbanding pertumbuhan 17 peratus pada suku kedua dan 19 peratus pada suku pertama.
Google turut mencatatkan perbelanjaan operasi lebih tinggi daripada jangkaan serta aliran tunai bebas negatif, mencerminkan tekanan kewangan akibat pelaburan besar untuk mendapatkan kapasiti pusat data dan membangunkan model AI baharu.
Keadaan itu memperlihatkan dilema besar yang sedang dihadapi Google, iaitu bagaimana syarikat berkenaan boleh mengubah perniagaan enjin carian yang selama ini menjadi sumber keuntungan utamanya tanpa menjejaskan model pendapatan sedia ada.
Penganalisis strategi pasaran JonesTrading, Mike O’Rourke, berkata keputusan kewangan itu mengecewakan kerana Google, yang antara syarikat paling agresif melabur dalam AI bagi mempertahankan perniagaan terasnya, kini turut menunjukkan kelemahan akibat perkembangan teknologi sama.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pelabur mengenai kemampuan syarikat berkenaan mempertahankan kedudukan dominannya.
Tekanan terhadap saham Google turut menyebabkan ia membentuk corak teknikal dikenali sebagai death cross, apabila purata pergerakan harga saham 50 hari jatuh di bawah purata 200 hari, yang lazimnya dianggap sesetengah penganalisis sebagai petunjuk momentum saham semakin lemah.
Selama ini, Google Search menjana ratusan bilion dolar setiap tahun melalui model pengiklanan berasaskan pautan, dengan pengiklan membayar apabila pengguna mengklik pautan tajaan yang dipaparkan dalam hasil carian.
Bagaimanapun, teknologi AI membolehkan pengguna memperoleh jawapan secara langsung tanpa perlu melalui senarai pautan seperti kaedah carian tradisional, sekali gus berpotensi mengurangkan nilai komersial model pengiklanan yang selama ini menjadi nadi pendapatan Google.
Ketua Pegawai Perniagaan Google, Philipp Schindler, mengakui pertumbuhan pesat pertanyaan melalui ciri AI Mode memberi kesan kepada kadar penjanaan pendapatan kerana format berkenaan masih menghasilkan pulangan pengiklanan lebih rendah berbanding carian konvensional.
Beliau bagaimanapun berkata jumlah keseluruhan pertanyaan pengguna kini berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh lima tahun.
Google sedang memperluaskan penempatan iklan dalam jawapan AI Mode ke pasaran antarabangsa, dengan ujian awal menunjukkan kadar klik pada iklan produk tajaan adalah setanding dengan penyenaraian organik.
Syarikat itu turut mendakwa kajian pengguna menunjukkan iklan yang dipaparkan dalam format berkenaan dianggap relevan.
Schindler turut mengaitkan sebahagian kelembapan pendapatan pengiklanan dengan perubahan kadar pertukaran mata wang, pengurangan pendapatan daripada peruncit Asia susulan perubahan peraturan Kesatuan Eropah serta peralihan perbelanjaan pengiklanan ke separuh pertama tahun ini berikutan kejohanan Piala Dunia.
Dalam pada itu, persaingan daripada syarikat AI lain semakin memberi tekanan kepada perniagaan pengiklanan Google apabila pemain seperti OpenAI dan Anthropic memperkenalkan teknologi chatbot sebagai alternatif kepada enjin carian tradisional.
Penganalisis penyelidikan ekuiti Citizens, Andrew Boone, berkata peningkatan penggunaan perkhidmatan AI perusahaan oleh OpenAI dan Anthropic berkemungkinan mendorong sebahagian pengguna berbelanja besar Google beralih kepada chatbot AI untuk mendapatkan maklumat melalui carian peribadi.
OpenAI, yang mula menguji pengiklanan dalam ChatGPT kepada sebahagian pengguna di AS pada Februari lalu, dilaporkan menyasarkan pendapatan pengiklanan tahunan pada kadar AS$1 bilion.
Syarikat itu turut mengumumkan bahawa lebih 100,000 pengiklan telah menjalankan kempen melalui ChatGPT, dengan perkhidmatan pengiklanan berkenaan kini tersedia di 89 negara.
Bagaimanapun, pengiklan berpandangan perniagaan pengiklanan OpenAI masih berada pada peringkat awal dan kebanyakan syarikat menggunakan peruntukan percubaan untuk menguji platform itu, bukannya mengalihkan belanjawan pengiklanan sedia ada daripada Google.
Ketua Pegawai Eksekutif firma pemasaran digital January Digital, Vic Drabicky, berkata peruntukan untuk menguji platform OpenAI setakat ini lebih banyak datang daripada belanjawan tambahan atau saluran pengiklanan lebih kecil, bukannya pengurangan khusus terhadap perbelanjaan di Google.
Penganalisis NewStreet Research, Dan Salmon, pula berpandangan momentum pengiklanan OpenAI masih belum memberi kesan besar terhadap pendapatan Google, namun perkembangan berterusan itu dijangka meningkatkan tekanan terhadap Alphabet untuk memperkenalkan iklan dalam chatbot Gemini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan Alphabet terus berdepan tekanan pasaran sehingga berjaya meyakinkan pelabur mengenai asas perniagaan carian serta keupayaannya menjana pendapatan daripada AI.
Proses pemulihan keyakinan itu dianggarkan berpotensi mengambil masa sehingga separuh pertama 2027.
Perkembangan berkenaan sekali gus memperlihatkan cabaran terbesar Google ketika ini: teknologi AI yang dibangunkan untuk mempertahankan dominasi syarikat itu dalam industri carian kini berpotensi menghakis model perniagaan yang selama ini menjadi sumber keuntungan utamanya.
-BTSMedia.my



