PASARAN saham Indonesia (IDX) merosot sebanyak 9% dalam dagangan awal pada hari Selasa, hingga  menyebabkan penggantungan dagangan selama 30 minit.
Nilai mata wang rupiah turut jatuh 1.8% ke paras terendah dalam sejarah apabila pasaran dibuka semula selepas cuti panjang Aidilfitri.
Apa yang berlaku adalah tindak balas terhadap pergolakan pasaran global yang berpunca daripada tarif Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump..
Menurut data LSEG, indeks utama merudum 9.2% ke paras terendah sejak bulan Jun 2021 dalam urus niaga awal, sementara rupiah jatuh kepada 16,850 berbanding dolar AS, melepasi paras terendah Krisis Kewangan Asia yang pernah direkodkan.
Sebelum pasaran dibuka, bursa saham memaklumkan bahawa penurunan sebanyak 8% akan menyebabkan penggantungan dagangan selama 30 minit, yang sebelum ini ditetapkan pada 5%.
Katanya, jika kerugian berlarutan hingga mencecah 15%, akan ada lagi jeda dagangan selama 30 minit.
Penurunan lebih daripada 20% dalam indeks utama akan menyebabkan dagangan digantung sepanjang hari.
Menurut pihak bursa, langkah ini akan memberikan pelabur “ruang kecairan dan peluang” untuk mencerna dan memproses maklumat.
Bursa turut memaklumkan bahawa jika saham individu jatuh sebanyak 15%, pesanan jualan di bawah harga tersebut akan ditolak secara automatik.
Dalam satu sidang media, ketua eksekutif IDX, Iman Rachman berkata langkah-langkah tersebut diambil sebagai persediaan untuk keadaan pasaran.
Beliau menegaskan bahawa IDX tidak mahu menimbulkan panik, tetapi sebaliknya ingin memberi keyakinan kepada pelabur domestik dan asing bahawa mereka mempunyai ruang yang cukup untuk bertransaksi setelah lebih seminggu bercuti.
Eksekutif IDX, Jeffrey Hendrik, pula berkata peraturan dagangan boleh disesuaikan semula apabila keadaan kembali normal.
Pasaran saham Indonesia yang dibuka semula pada hari Selasa sejak penutupan pada 27 Mac, kini sedang mengejar pergerakan pasaran global berikutan pengumuman tarif AS minggu lalu, yang termasuk rancangan tarif 32% ke atas produk Indonesia.
-BTS Media