BTS Media

Graduan universiti di China rebut apa sahaja dalam pasaran kerja lembab

GAMBAR ATAS: HALUK COMERTEL, CC BY 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/3.0>, via Wikimedia Commons

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PASARAN pekerjaan yang lembab di China kini mendorong graduan universiti merebut apa sahaja pekerjaan bagi menjana sumber pendapatan.

Dalam satu tinjauan, Reuters hari ini melaporkan bagaimana seorang graduan lulusan Matematik Gunaan yang gagal mendapat pekerjaan di syarikat teknologi gergasi setelah mencuba selama dua tahun, berputus asa dan akhirnya cuba mendapatkan pekerjaan di kedai roti dan kedai solek.

Seperti ribuan yang lain di negara itu, graduan tersebut sentiasa merendahkan harapan untuk mendapatkan pekerjaan dalam pasaran pekerjaan paling teruk penah dicatatkan.

Graduan berusia 25 tahu itu memberitahu Reuters bagaimana dia begitu payah mendapatkan pekerjaan di bandar raya perusahaan Taiyuan di bahagian utara China.

Dia berkata ibunya berasa amat sedih hingga menangis mengenangkan nasib anaknya itu.

Pakar ekonomi menjangkakan keadaan seperti yang diharungi oleh graduan itu akan menjadi lebih serius pada tahun-tahun akan datang berikutan pertambahan bilangan lulusan universiti, dan kekurangan tenaga buruh di kilang-kilang kerana tenaga kerja di negara itu semakin tua.

Kadar belia yang menganggur di China ialah 20.4 peratus pada April, dan angka itu akan mencecah rekod lebih tinggi apabila 11.58 juta pelajar universiti dijangka memasuki pasaran pekerjaan pada musim panas ini.

Mereka kesemuanya bersaing untuk mendapatkan pekerjaan di negara yang merupakan antara kuasa ekonomi dunia paling pantas berkembang, tetapi tidak selari dengan keperluan dan aspirasi anak muda sekarang.

Menurut Reuters, tidak jelas berapa ramai graduan yang terpaksa mendapatkan pekerjaan di bawah tahap kemahiran mereka, tetapi media rasmi mengakui trend itu memang wujud.

Akhbar rasmi dalam editorial mereka juga menggalakkan graduan muda supaya bersedia “menyingsingkan lengan baju” dan dengan memprofilkan seorang wanita dalam lingkungan 20-an yang menjadi pemungut sampah selepas berkhidmat sebentar sebagai akauntan.

Sehubungan itu, Presiden Xi Jinping telah menggesa golongan muda agar “membiasakan diri dengan kesusahan” dalam artikel akhbar baru-baru ini, di mana beliau menceritakan bagaimana peritnya kehidupan beliau semasa zaman Revolusi Budaya komunis China dahulu.

Bagaimana pun, nasihat beliau tidak dipedulikan oleh generasi muda sekarang yang mengambil mudah kemakmuran negara China zaman ini.

Dalam usaha menangani isu ini Beijing telah menggesa syarikat-syarikat milik kerajaan supaya mengambil kerja lebih ramai graduan.

Dalam pada, itu institusi-institusi latihan vokasional juga diperluaskan bagi mengisi keperluan pekerja dalam sektor pembuatan.

Kerajaan tempatan pula, seperti di Shanghai, juga menawarkan subsidi bagi firma-firma yang sudi mengambil kerja graduan universiti tahun 2023.

Menurut seorang penganalisis di Unit Penyelidikan Ekonomi, sebahagian besar jawatan kolar putih di China telah lenyap, dan sebaliknya pekerjaan yang ada sekarang tidak memerlukan pendidikan tinggi.

-BTS Media

Leave a Comment