BTS Media

China letak ‘beacon’ di Laut China Selatan

GAMBAR ATAS: Beacon yang diletakkan oleh Filipina di perairan barat negara itu/ Gambar: Philippines Coast Guard.

 

Oleh Fetty Rara

CHINA telah meletakkan tiga suar navigasi (beacon) di sekitar Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, berikutan tindakan Filipina mendirikan penanda serupa awal bulan ini, dalam usaha masing-masing cuba mengukuhkan tuntutan ke atas kawasan itu.

Menurut Reuters, Kementerian Pengangkutan China hari ini berkata pusat keselamatan maritim Laut China Selatan negara telah meletakkan tiga suar berhampiran Irving Reef, Whitson Reef, dan Gaven Reef di Kepulauan Spratly, yang merangkumi beberapa pulau kecil, tebing terumbu dan beting.

China mendakwa penempatan suar itu adalah bagi “memastikan keselamatan navigasi dan operasi kapal”.

Awal bulan ini, Filipina juga meletakkan boya navigasi yang dipasang bendera negara itu dalam zon ekonomi eksklusifnya, termasuk di Whitsun Reef, dan tempat di mana beratus-ratus kapal China pernah berlabuh pada 2021.

Ketegangan semakin memuncak baru-baru ini di bahagian dipertikaikan di Laut China Selatan yang merupakan laluan perdagangan paling penting di dunia.

Beijing sejak sekian lama telah menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya.

Ia juga dituntut oleh Vietnam, Taiwan, Brunei, Malaysia dan Filipina.

-BTS Media

Leave a Comment