Oleh Fetty Rara
NAIB Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris pada Selasa menggesa negara-negara serantau supaya mempertahankan integriti wilayah dan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, yang telah dicabar oleh China.
Beliau berkata Washington akan meningkatkan kempen antarabangsa membantah “tindakan tidak bertanggungjawab” di perairan yang dipertikaikan itu.
Kamala tidak menyebut nama China secara spesifik, tetapi jelas merujuk kepada Beijing apabila beliau menekankan sokongan Amerika kepada sekutu perjanjian Filipina “dalam menghadapi intimidasi dan paksaan di Laut China Selatan,” lapor Times Union.
Beliau berkata demikian di atas kapal peronda pengawal pantai Filipina yang berlabuh di Puerto Princesa di wilayah pulau barat Palawan, Filipina.
Lawatan yang sangat simbolik itu adalah bahagian terakhir lawatan dua hari yang bermula di Manila pada Isnin dengan perbincangan dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr.
Memetik kepentingan mendalam bagi AS dan masyarakat antarabangsa di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan, beliau menyeru agar usaha lebih meluas dilakukan untuk memperjuangkan perdagangan tanpa halangan dan kebebasan pelayaran dan penerbangan di perairan yang dipertikaikan itu.
Konfrontasi baharu tercetus menjelang lawatannya ke Palawan apabila tentera laut Filipina melaporkan bahawa sebuah kapal pengawal pantai China telah merampas serpihan roket China secara paksa ketika pihak Filipina menariknya ke pulau yang dikuasai Filipina.
Marcos Jr memberitahu wartawan tanpa menjelaskan lebih lanjut bahawa beliau akan menghantar bantahan diplomatik ke China berhubung insiden itu. Tambahnya, Filipina mahukan penjelasan kerana China menafikan ia merampas serpihan itu secara paksa.
Konflik wilayah yang berlarutan itu melibatkan China, Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei.
-BTS Media