GAMBAR ATAS: China Culture.
Oleh Yusoff A. Shariff
Seorang pengembala kuda di Tibet yang pernah digelar “lelaki paling kacak di China” menyaman pengkritik dalam media sosial kerana komen berunsur fitnah yang menunjukkan bahawa selain ‘handsome’ beliau kosong saja dari segi lain.
Dingzhen Zhenzhu, 21, mengeluarkan surat peguam melalui ejennya pada Ahad lepas, memberi amaran kepada pengulas dalam talian supaya tidak menyiarkan komen berunsur fitnah, termasuk “kata-kata, gambar dan audio yang menghina, menakutkan, kesat atau menjelikkan.”
Tindakannya itu, bagaimana pun mengundang lebih banyak kritikan dan kecaman kerana kononnya meletakkan nilai lebih tinggi pada penampilan berbanding pencapaian, lapor NetShark.
Kecaman dalam media sosial terhadapnya menjadi semakin serius selepas video menunjukkan beliau menghisap ‘vape’ dimuat naik pada Januari 2021.
Seorang pengkritik dengan sinis berkata walaupun beliau belajar selama 10 tahun, namun pencapaian itu tidak ‘sehebat’ senyumannya.
Pada November 2020, sebuah klip video senyuman tujuh saat Dingzhen menjadi tular di media sosial China, hingga hampir dengan sekelip mata melonjakkan namanya.
Susulan itu, Dingzhen diangkat sebagai duta kampungnya di Litang, Sichuan yang dianggap salah sebuah daerah paling miskin di negara ini.
Imej beliau telah menjadikan kampungnya destinasi pelancongan yang popular, hingga beliau telah dijemput ke beberapa acara, termasuk Hari Bumi Sedunia Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tahun lepas.
Satu tinjauan oleh forum sukan Hupu pada Disember 202 menunjukkan bahawa 63% daripada responden percaya mereka jauh lebih ‘handsome’ daripada Dingzhen.
Dingzhen sudah mula mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyiarkan komen berunsur fitnah, dan turut memberi amaran kepada pengkritik lain.
-BTS Media