BTS Media

Lelaki kes aksi bahaya kanak-kanak di tingkap kereta ditangkap

Oleh Yusoff A. Shariff

Susulan sebuah video tular pada Rabu lalu (23 Mac) yang menunjukkan tiga kanak-kanak beraksi secara berbahaya di tingkap kereta, dijejaki kepada seorang lelaki yang kemudian ditangkap pada Khamis malam (24 Mac).

Jumaat lalu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 37 tahun itu merupakan pemandu kereta berkenaan.

Beliau berkata kanak-kanak terbabit yang berumur 4, 7 dan 8 tahun juga akan dipanggil tidak lama lagi.

Menurut Mior Faridalathrash tindakan tersebut tidak bertanggungjawab bagi seorang dewasa, dan pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan merujuk kes itu ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

Beliau memberitahu media demikian selepas sambutan Hari Polis Peringkat Negeri Perak yang diadakan di Pangkalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana bertindak cuai sambil membahayakan nyawa manusia dan Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak kerana mendedahkan kanak-kanak di bawah jagaan seseorang dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

 

-BTS Media

Leave a Comment