BTS Media

Lelaki ditahan atas dakwaan dera isteri di Kajang

SEORANG lelaki ditahan kerana disyaki mendera isterinya di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata suspek berusia 58 tahun itu ditahan di Setapak pada pukul 4.35 pagi hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati isteri suspek berusia 45 tahun dipukul dan ditendang suspek sehingga mengakibatkan kecederaan di badan.

“Suspek turut menarik rambutnya dan menendang kepalanya menyebabkan dia melarikan diri dari rumah. Pembantu rumah dan anak perempuan mereka berusia tujuh tahun serta pemandu suspek menyaksikan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (19 Nov).

ACP Mohd Zaid berkata, mangsa menerima rawatan awal di hospital dan disahkan mengalami kecederaan akibat pukulan di kedua-dua belah mata, kepala, kaki dan belakang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017.

Lelaki itu didapati mempunyai satu rekod lampau berkaitan peras ugut,” katanya sambil menambah suspek direman empat hari sehingga 22 Nov untuk siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-515 6933 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Satu video sepanjang  satu minit tujuh saat menunjukkan wanita itu didera lelaki itu telah tular di media sosial.

-BTS Media

Leave a Comment