BTS Media

Serpihan roket Long March China dilihat di langit Sarawak

ATAS: Serpihan melintasi langit Sarawak/ Gambar daripada Twitter @haniDaslepzz.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

SERPIHAN besar yang dikatakan sebahagian daripada roket Long March Komunis China telah terhempas ke bumi, dan sebelum itu ia dilihat oleh orang ramai melintasi langit Sarawak.

Menurut agensi angkasa lepas Amerika Syarikat NASA, bahagian teras roket seberat 22.5 tan jenis Long March 5B itu memasuki atmosfera Bumi di ruang udara Lautan Hindi pada kira-kira 12.45 pagi Ahad (31 Julai).

Orang ramai di Sarawak yang melihat kejadian itu turut memuat naik video ke media sosial.

Kejadian dramatik yang dilihat oleh penduduk di Sibu, Bintulu, Kuching dan lain-lain lokasi itu turut dimuat naik ke media sosial. Ramai yang tidak menyedari bahawa yang mereka saksikan sebenarnya ialah serpihan roket China itu.

Menurut satu tweet daripada (@hanifDaslepzz, sebelum dilihat melintasi langit Kuching, kedengaran satu dentuman, dan kelihatan kepulan panjang seperti awan.

Menurut ahli astrofizik dan penjejak satelit Jonathan McDowell dari Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, AS, berpandukan video yang dimuat naik dari Kuching, objek tersebut berada tinggi di atmosfera, dan apa-apa serpihan akan jatuh ke bumi beratus kilometer lebih jauh daripada laluan berhampiran Sibu, Bintulu dan Brunei.

Dalam beberapa siri tweet, McDowell berkata tidak mungkin, tetapi tidak mustahil satu daripada serpihan itu jatuh ke kawasan penduduk.

Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) alam satu kenyataan pada Jumaat (29 Julai) berkata serpihan roket itu tidak mungkin jatuh di Malaysia.

Roket Long March 5B dilancarkan pada 24 Julai untuk menghantar sebuah modul makmal ke stesen angkasa lepas China yang sedang dibina di ruang orbit, justeru menandakan pelancaran ketiga roket paling berkuasa Komunis China sejak pelancaran sulungnya pada 2020.

-BTS Media

Leave a Comment