BTS Media

Keretapi berkelajuan tinggi Indonesia buatan China diperkenal di Qingdao

GAMBAR ATAS: Keretapi berkelajuan tinggi Indonesia / Foto: China Daily.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

KERETAPI berkelajuan tinggi (HSR atau kereta api peluru) untuk rangkaian rel antara ibu kota Indonesia, Jakarta dan kota Bandung diperkenalkan pada Jumaat (5 Ogos) di timur China.

Ia menandakan anjakan penting bagi projek kereta api itu, kata China Railway International.

Sebanyak 11 set HSR dan sebuah tren penyelenggara, semuanya berasaskan standard China, dilancarkan di Qingdao, wilayah Shandong, berikutan ujian dijalankan pada Khamis. Kesemua tren itu akan dihantar ke Indonesia, lapor China Daily.

Menurut anak syarikat China State Railway Group, China Railway International yang menyelia projek, kereta api itu direka dan dibina oleh CRRC Qingdao Sifang Co, Ltd berdasarkan teknologi canggih kereta api Fuxing buatan China yang mampu bergerak pada  kelajuan maksimum 350 kmsj.

Rangkaian rel berkelajuan tinggi itu akan memendekkan perjalanan antara Jakarta dan ibu kota wilayah Jawa Barat Indonesia daripada lebih tiga jam kepada hanya 40 minit.

CRRC juga membuat perubahan kepada kereta api tersebut untuk disesuaikan dengan persekitaran dan laluan tempatan di Indonesia, selain menerapkan unsur budaya Indonesia untuk pengalaman perjalanan lebih selesa.

Kereta api itu dicat dengan warna merah dan perak untuk melambangkan dinamisme negara Indonesia yang berkembang pesat. Terdapat juga corak poligon merah menyerupai warna dan bentuk naga Komodo, iaitu biawak terbesar dunia yang merupakan haiwan kebangsaan Indonesia.

Bahagian dalam kereta api dihiasi dengan warna kelabu, merah dan biru, diilhamkan oleh Candi bersejarah Borobudur, serta bendera negara Indonesia dan lautan.

Kereta api itu juga dilengkapi teknologi pintar menggunakan lebih 2,500 ‘sensor’ sistem amaran awal yang mampu mengesan gempa bumi.

Setiap kereta api lapan gerabak itu boleh membawa maksimum 601 orang, dan mempunyai sebuah koc makan, sebuah koc kelas pertama dan enam koc kelas dua. Juga, dua kereta api boleh dihubungkan apabila perlu untuk membawa lebih ramai penumpang.

Untuk memudahkan penumpang dari kalangan orang kurang upaya, kereta api ini mempunyai kawasan bebas halangan, rel pemegang, tandas yang direka khas dan papan tanda panduan Braille.

Laluan sepanjang 243 km di Indonesia yang merupakan projek mercu tanda Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang dicadangkan China itu, mula dibina pada 2018 dan dijangka beroperasi pada Jun tahun depan.

-BTS Media

Leave a Comment