BTS Media

Nurulhidayah ‘menasihati’ Pemuda Umno agar tidak terlalu beremosi soal hala tuju parti

NURULHIDAYAH Ahmad Zahid mengingatkan Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh supaya tidak mengeluarkan sebarang bentuk “kata dua” berhubung hala tuju parti, sambil menegaskan bahawa pendekatan “kekal atau keluar” hanya menambah kekeliruan dalaman.

Ahli exco Wanita Umno itu, yang juga anak kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, mendakwa kononnya dia memahami kegusaran akar umbi serta peranan sayap pemuda sebagai mekanisme semak dan imbang. Namun, dia berpandangan kenyataan yang bersifat mendesak itu membawa kesan besar, seolah-olah keputusan strategik parti boleh dipengaruhi oleh tekanan emosi dan bukannya saluran serta struktur sedia ada.

Menurutnya, dalam sebuah organisasi “besar” seperti Umno, hala tuju parti tidak ditentukan oleh satu sayap tertentu, apatah lagi melalui tekanan terbuka yang mudah ditafsir sebagai ancaman politik dalaman. Pendekatan sedemikian, katanya, hanya mengukuhkan tanggapan bahawa parti sedang berpecah-belah.

Dia turut berpandangan bahawa tindakan membawa isu hala tuju parti ke ruang awam dengan nada sebegitu bukan sahaja melemahkan presiden dan kepimpinan tertinggi, malah memberi peluru percuma kepada pihak lawan politik serta pemerhati yang sedia menunggu kesilapan Umno.

Dalam masa yang sama, Nurulhidayah tidak menolak keperluan konvensyen untuk membincangkan masa depan parti, tetapi mengingatkan bahawa keberanian pemimpin muda perlu disertai kebijaksanaan demi menjaga maruah Umno. Perbahasan, katanya, perlu berteraskan bahasa yang membina, logik dan tertib, bukan emosi atau usaha meraih populariti segera.

Dia juga mengulangi bahawa Umno bukan milik satu generasi, satu sayap atau individu paling lantang bersuara, sebaliknya sebuah parti yang perjuangannya menuntut kesabaran serta kesetiaan kepada struktur organisasi. Walaupun perbezaan pandangan dianggap perkara biasa, menggambarkan Umno seolah-olah berada di persimpangan genting secara terbuka dilihat bertentangan dengan budaya parti.

Dalam satu perbandingan sinis, Nurulhidayah berkata Umno bukan MIC, sambil menegaskan pemimpin muda yang benar-benar sayangkan parti sepatutnya memilih untuk mengukuhkan kepimpinan, bukannya melemahkannya, walaupun dengan niat yang kononnya baik.

Semalam, Akmal mengumumkan bahawa Pemuda Umno akan mengadakan satu konvensyen khas pada 3 Januari bagi membincangkan hala tuju parti serta peranannya dalam kerajaan perpaduan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment