BTS Media

Tindakan imperialis Israel di Somaliland Israel langgar undang-undang antarabangsa selepas binasakan Gaza

KERAJAAN Somalia mengecam keras tindakan Israel mengiktiraf wilayah Somaliland sebagai satu langkah tamak, perluasan kuasa dan bersifat imperialis yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, sekali gus mencabuli kedaulatan Somalia.

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, berkata pengiktirafan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu itu merupakan campur tangan terang-terangan dalam urusan dalaman Somalia dan bertentangan dengan norma perundangan serta diplomatik yang diterima pakai masyarakat antarabangsa.

“Pencerobohan haram oleh Netanyahu mengiktiraf sebahagian wilayah utara Somalia adalah bercanggah dengan undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi platform media sosial X.

“Campur tangan urusan dalaman Somalia melanggar peraturan undang-undang dan diplomatik. Somalia dan rakyatnya adalah satu negara, dan tidak boleh dibahagikan (oleh Israel),” tegas beliau.

Israel menjadi negara pertama di dunia mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara berdaulat.

Tindakan itu segera mendapat kecaman daripada Turkiye serta beberapa negara di Afrika dan Timur Tengah.

Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada agenda rakus dan berterusan peluasan pengaruh zionis Israel, tatkala dunia masih menyaksikan kemusnahan menyeluruh di Gaza dan penderitaan dahsyat terhadap orang awam dan genosid di tangan negara yahudi itu.

Wilayah Somaliland, yang mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, sehingga kini tidak pernah menerima pengiktirafan rasmi antarabangsa. Walaupun wujud sebagai entiti pentadbiran, politik dan keselamatan de facto, kerajaan pusat Somalia menegaskan bahawa wilayah itu kekal sebagai bahagian tidak terpisahkan daripada kedaulatan negara.

Kerajaan Somalia sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa sebarang urusan langsung atau penglibatan dengan kepimpinan Somaliland tanpa persetujuan Mogadishu merupakan pelanggaran kedaulatan dan perpaduan negara.

Somalia turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya menolak sebarang langkah sebelah pihak yang meremehkan undang-undang antarabangsa, terutamanya oleh Israel.

-BTSMedia.my

Leave a Comment