PERGERAKAN tren di laluan MRT Putrajaya yang baru berusia seminggu terpaksa bergerak lebih perlahan dan dipandu secara manual antara stesen Kg Batu dan Kentonmen, kata RapidKL petang ini.
Puncanya ialah masalah suis landasan.
Menurut RapidKL melalui Twitter, tren bergerak lebih perlahan dan terpaksa berhenti lebih lama apabila menghampiri stesen Kg Batu, disebabkan gangguan suis.
Dalam tweet yang menyusul beberapa minit kemudian RapidKL memaklumkan bahawa tren sedang dipandu secara manual antara kedua-dua stesen, dan juga akan berhenti lebih lama di platform semasa kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan.
Penumpang yang memerlukan bantuan digesa merujuk kepada ketua stesen atau polis bantuan.
Tweet RapidKL mengenai perkara itu telah mencetuskan kemarahan sesetengah pengguna yang berkata pemeriksaan menyeluruh pada laluan itu sepatutnya dibuat sebelum perkhidmatan dibuka kepada orang ramai pada 16 Mac.
Laluan MRT Putrajaya sepanjang 57.7 km yang dilancarkan seminggu lalu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menghubungkan Kwasa Damansara dan Putrajaya Sentral.
Ia mempunyai 36 stesen, termasuk sembilan stesen bawah tanah, dan 10 stesen pertukaran untuk penumpang menukar ke Transit Aliran Ringan, Laluan Rel Ekspres dan sistem rel Komuter.
Sistem tersebut automatik sepenuhnya dan tanpa memerlukan pemandu, tetapi tren juga boleh dipandu secara manual jika perlu.
-BTS Media