BTS Media

Najib diberi ‘preview’ naik MRT Putrajaya kerana dia minta, kata CEO MRT

GAMBAR: Facebook Najib Razak.

 

Oleh Wartawan BTS Media

Najib Razak dan keluarganya diberi ‘preview’ dan perjalanan percuma mendahului perdana menteri di laluan MRT Putrajaya pada Rabu (15 Jun), sehari sebelum pelancaran rasminya kerana dia meminta, kata CEO MRT Mohd Zarif Hashim.

Beliau berkata Najib memuat naik permintaan itu melalui Twitter dengan menyatakan bahawa dia berminat untuk menaiki tren tersebut.

Mohd Zarif berkata demikian semasa sidang media selepas pelancaran fasa pertama laluan MRT Putrajaya di Stesen Sri Damansara pada Khamis (16 Jun).

Najib kemudian menyiarkan gambar beliau menaiki MRT bersama ahli keluarganya di Facebook pada Rabu.

Tinjauan ahli Parlimen Pekan itu dibuat sebelum majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di stesen MRT Batu pada pagi Khamis.

Antara yang mempersoalkan keutamaan jemputan pra-tonton laluan MRT Putrajaya kepada Najib oleh MRT Corp Najib termasuk wartawan veteran R. Nadeswaran dalam ulasan di portal berita Malaysiakini hari ini.

Nadeswaran juga mendakwa bahawa adalah tindakan tidak adil menjemput Najib, kerana MRT tidak mengambil kira sentimen orang ramai apabila membuat keputusan sedemikian.

Fasa pertama laluan Putrajaya yang mula beroperasi pada pukul 3.00 petang Khamis (16 Jun), meliputi 12 stesen – Kwasa Damansara, Kampung Selamat, Sungai Buloh, Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima, dan Kampung Batu.

Pada waktu puncak, tren akan tiba setiap empat minit, dengan setiap perjalanan mampu membawa 1,200 penumpang.

Fasa pertama laluan MRT Putrajaya membolehkan penumpang bertukar ke stesen KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (ke Kepong Sentral) dan Kampung Batu.

Fasa dua MRT Putrajaya dijangka siap menjelang Januari tahun depan, dengan perkhidmatan melewati keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara ke penghujung laluan di Putrajaya.

Sempena pelancaran fasa pertama laluan Putrajaya, MRT Corp menawarkan perjalanan percuma selama sebulan merentasi semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah RapidKL dan juga KTM di Lembah Klang, mulai Khamis (16 Jun).

-BTS Media

Leave a Comment