Oleh Zainal AS Rashid
PERBICARAAN rayuan Najib Razak untuk mendapatkan dokumen perbankan melibatkan bank pelaburan Amerika Syarikat Goldman Sachs dan keluarga bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz ditangguhkan pada Khamis (11 Ogos) kerana peguam kanannya tidak sihat.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim P. Ravinthran, Abu Bakar Jais dan Hashim Hamzah membenarkan penangguhan dipohon oleh Effa Azuin Aidrul Hisham yang merupakan salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan Najib.
Hakim Ravinthran, yang mengetuai panel itu, mengarahkan pengurusan kes diadakan pada Jumaat (12 Ogos) untuk menetapkan tarikh pendengaran rayuan awal.
Mahkamah juga membenarkan permohonan Effa Azuin untuk mengecualikan Najib daripada menghadiri prosiding mahkamah Khamis yang dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, lapor Bernama.
Effa Azuin memberitahu mahkamah bahawa peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah mengalami demam panas, dan telah mendapatkan sijil kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang hadir untuk pendakwaan bersama Mohamad Mustafa P. Kunyalam, tidak membantah penangguhan itu, tetapi menyerahkan kepada mahkamah berhubung permintaan untuk mengetepikan kehadiran Najib dalam prosiding mahkamah pada Khamis.
Najib sedang berusaha mendapatkan dokumen perbankan untuk perbicaraannya membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dia membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Julai tahun lepas yang menolak dua permohonan penemuannya untuk memaksa pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB mendedahkan dokumen perbankan. Dokumen dikaitkan dengan keluarga Zeti itu berhubung dakwaan bahawa keluarganya didakwa menerima wang daripada Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.
Najib memfailkan perintah mahkamah pada 24 Mac tahun lepas untuk memaksa pihak pendakwaan memberikan beberapa penyata perbankan daripada syarikat, termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd, Country Group Securities Public Company Ltd, ACME Time Ltd (BVI), Butamba Investments Ltd, dan Central Holdings Ltd, dipercayai mempunyai kaitan dengan keluarga Jho Low dan Zeti dalam kes 1MDBnya.
Ahli Parlimen Pekan itu juga memfailkan permohonan kedua pada 7 April, tahun lepas untuk mendapatkan perjanjian penyelesaian sulit antara kerajaan dan Kumpulan Goldman Sachs yang dimeterai pada 2020 dan transkrip atau laporan forensik pada telefon bekas rakan kongsi Goldman Sachs di Asia, Tim Leissner .
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan mengguna kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan sedang berjalan di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Pada prosiding hari ini, Sofea Shereen Mohamed Salim hadir sebagai peguam pemerhati untuk Zeti dan suaminya.
-BTS Media