GAMBAR ATAS: Malay Mail.
Pendengaran permohonan pendakwaan untuk memanggil bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy untuk memberi keterangan terhadap Najib dalam kes pindaan laporan audit ditangguhkan.
Ia selepas peguam mewakili Najib, Rahman Mohamed Hazlan memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan bahawa peguam utama Shafee Abdullah mengalami demam dan sakit tekak.
“Beliau menghubungi kami dan suaranya kedengaran seperti Sean Connery,” kata Rahmat yang merujuk kepada pelakon filem James Bond itu. [U
Zaini kemudiannya membalas “Connery sudah tiada dan (beliau) bukan contoh yang baik”.
Hakim itu mengarahkan pihak pembelaan memaklumkan kepada mahkamah dengan segera sebaik Shafee pulih.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak membantah penangguhan itu.
Pendengaran itu ditangguhkan ke 3 Jun.
Akram memberitahu mahkamah bahawa Pendakwa Raya Ad-Hoc Gopal Sri Ram akan berhujah mengenai permohonan itu dalam tempoh kurang sejam manakala Rahmat berkata, pembelaan akan mengambil masa separuh hari.
Minggu lalu, Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah memfailkan permohonan di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil Arul Kanda memberi keterangan bagi pihaknya.
Seksyen 63 menyatakan apabila dua atau lebih orang didakwa atas suatu kesalahan, mahkamah boleh, atas permohonan secara bertulis oleh pendakwa raya, menghendaki seorang atau lebih daripada mereka memberikan keterangan sebagai saksi pendakwaan.
Sri Ram dipetik berkata, Arul Kanda “mempunyai maklumat dalam simpanannya yang berkaitan dengan tuduhan terhadap Najib mengenai mesyuarat pada 24 Feb 2016 dan peristiwa sebelum dan selepasnya”.
Najib dibicarakan atas tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Arul Kanda didakwa atas tuduhan bersubahat dengan Najib.