BTS Media

Perbicaraan pinda laporan audit 1MDB Najib ditangguhkan ke 26 Ogos

Oleh Zainal AS Rashid

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur secara tentatif menetapkan 26 Ogos untuk menyambung semula perbicaraan Najib Razak atas dakwaan salah guna kuasa berhubung laporan audit muktamad 1MDB yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Timbalan Pendakwa Raya Mustafa P Kunyalam berkata perbicaraan yang dijadualkan hari ini (Khamis 18 Ogos) di hadapan Hakim Zaini Mazlan telah dikosongkan kerana bekas perdana menteri itu berada di Mahkamah Persekutuan untuk membuat rayuan terhadap sabitannya dalam kes SRC International.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co, yang mewakili Najib, telah menulis kepada Mahkamah Tinggi dua hari lalu untuk memohon penangguhan.

Mustafa mengesahkan menerima surat semalam daripada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi bahawa permohonan untuk mengosongkan perbicaraan yang dijadualkan hari ini dibenarkan.

Beliau berkata mahkamah juga sebelum ini menetapkan perbicaraan pada 2 Sept dan kini menambah 21, 25 dan 28 Okt sebagai tarikh baharu.

Pasukan peguam Najib, yang diketuai oleh Shafee Abdullah, sepatutnya memeriksa balas pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Haniff Lami dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hari ini.

Najib didakwa menyalahguna kuasa ketika menjadi perdana menteri dan menteri kewangan pada Februari 2016 untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan pindaan kepada laporan audit muktamad 1MDB sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Mac 2016.

Pada 24 Jun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal Arul Kanda, yang didakwa bersubahat dengan Najib. Dia kekal sebagai tertuduh bersama.

-BTS Media

Leave a Comment