NAJIB RazakĀ didapati bersalah atas kesemua 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang menyatakan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Menurut penghakiman tersebut, pertuduhan pertama melibatkan penerimaan dana berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) milik anak syarikat 1MDB yang dipindahkan daripada akaun Tanore Finance Corporation ke Akaun 9694 milik Najib melalui sembilan transaksi antara 22 Mac hingga 10 April 2013.
Bagi pertuduhan kedua, ia berkaitan pengeluaran lima cek berjumlah keseluruhan RM22.649 juta antara 2 Ogos hingga 14 Ogos 2013, termasuk RM20 juta kepada Umno, RM100,000 kepada Umno Batu Kawan, serta tiga cek berjumlah RM2.549 juta bagi perkhidmatan penulisan ucapan dan pengurusan media sosial.
Pertuduhan ketiga pula melibatkan pemindahan semula dana berjumlah RM2.034 bilion (AS$620 juta) melalui lima transaksi daripada Akaun 9694 ke akaun Tanore antara 2 Ogos hingga 23 Ogos 2013.
Sementara itu, pertuduhan keempat merujuk kepada pemindahan dana berjumlah RM161.41 juta melalui dua transaksi daripada Akaun 9694 ke akaun peribadi baharu Najib di AmIslamic Bank, iaitu Akaun 1880, masing-masing pada 27 dan 30 Ogos 2013.
-BTSMedia.my



