SATU rakaman video dashcam yang memapar beberapa pemandu menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya, untuk memintas kesesakan sebelum ditahan pihak polis telah mencetuskan gelombang kecaman dalam talian.
Rakaman dari sebuah lori itu menunjukkan banyak kereta dan motosikal menggunakan lorong kecemasan.
Pada satu ketika, sebuah kereta dilihat membelok untuk memasuki lorong kiri secara mengejut di hadapan lori, sekali gus memaksa kenderaan berat berkenaan membrek secara mengejut.
Video tersebut turut memaparkan pemandu lori keluar dari kenderaannya untuk berdepan dengan pemandu terbabit.
Rakaman berkenaan mengundang kecaman pengguna media sosial yang mengutuk tindakan para pemandu.
Seorang pengguna, Shahazwanfahmy Je, berkata bahawa penggunaan lorong kecemasan dengan lampu isyarat kecemasan kini menjadi satu trend, tapi sebaik saja melihat polis di hadapan, mereka akan segera mematikan lampu kecemasan.
Seorang lagi pengguna, Puteri Diana, berkata ramai juga yang memandu secara berbahaya, termasuk menyelit antara lorong, semata-mata untuk mengelak dikenakan saman.
Tidak kurang ramai pengguna media sosial berpendapat bahawa kaedah Smart Lane, iaitu pembukaan sementara lorong kecemasan di beberapa laluan lebuh raya tertentu, telah disalahgunakan secara meluas.
Mereka berkata sistem tersebut menggalakkan pemandu menggunakan lorong kecemasan walaupun Smart Lane tidak diaktifkan.
Mereka juga meminta supaya kaedah tersebut dimansuhkan sepenuhnya bagi mengelak lorong kecemasan terus disalahgunakan.
@apylee86 #CapCut #4141smatline ♬ bunyi asal – QisQarizh
-BTSMedia.my



