JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) merakam gambar lebih 100 kenderaan yang menyalah gunakan laluan kecemasan di lebuh raya dalam Operasi Pemantauan Khas sempena sambutan Tahun Baharu Cina (Ops TBC), hari ini.
Dalam kenyataannya, JPJ berkata, Ops TBC yang masuk hari keempat, hari ini dijalankan di Lebuhraya Utara Selatan dari arah Johor Bahru ke Putrajaya bermula jam 10 pagi hingga 2 petang tadi.
“Hasil pemantauan itu, JPJ berjaya mengesan dan merakam lebih 100 buah kenderaan yang melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan.
“JPJ ingin menegaskan bahawa kesalahan berkenaan adalah antara tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa ke mahkamah,” katanya.
JPJ berkata, kesemua gambar itu dirakam oleh anggota Pasukan Pemantauan Khas 7 Kesalahan Utama yang melakukan pemantauan secara taktikal samaran.
Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya kesesakan dan menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.
Sebelum ini, JPJ menyenaraikan tujuh kesalahan utama lalu lintas sempena Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 yang tidak dibenarkan kompaun.
Kesalahan itu membabitkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.
Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat sebarang aduan kesalahan lalu lintas termasuk tujuh kesalahan utama, melalui menu e-Aduan@jpj di Aplikasi MyJPJ atau melalui aduan email JPJ aduantrafik@jpj.gov.my.