SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang pemandu lori berusia 35 tahun susulan video pertengkaran membabitkan suspek sambil memegang parang dengan seorang individu tular di media sosial sejak semalam.
Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan lelaki terbabit memegang parang sambil dileraikan oleh orang awam ketika pertengkaran berlaku dengan individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya mengesan kejadian itu melalui video yang ditular di media sosial Facebook (FB) pada jam 10 malam semalam berhubung pertengkaran membabitkan dua lelaki di stesen minyak berkenaan.
Beliau berkata, sepasukan anggota Task Force dari Balai Polis Gurun pergi ke stesen minyak berkenaan untuk menemu bual pengurus stesen minyak berkenaan untuk pengesahan lanjut.
“Perkara itu disahkan oleh pengurus terbabit berlaku itu pada 1 Julai lalu jam 7.40 malam dan hasil semakan video itu mendapati, ia ditular oleh seorang pengguna Facebook.
“Siasatan juga mendapati, pada jam 6.15 petang 1 Julai lalu, sewaktu suspek memandu lori keluar dari Hentian Bukit Kobah, Pendang (Lebuhraya Utara-Selatan), berlaku perselisihan faham antara dia dengan seorang lelaki yang memandu kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger.
“Ianya tercetus apabila pemandu Ford Ranger terbabit membunyikan hon kepada pemandu lori terbabit sehingga menyebabkan perselisihan faham antara mereka berterusan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, lelaki itu menyatakan yang dia diugut oleh pemandu Ford Ranger itu hingga menyebabkan dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan dalam lorinya.
Beliau berkata, pemandu lori itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gurun pada jam 5.14 petang semalam.
“Berikutan itu, suspek ditahan jam 8.30 malam tadi untuk membantu siasatan.
“Usaha untuk mengesan dan menahan pemandu Ford Ranger itu masih diteruskan.
“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pemandu Ford Ranger berkenaan atau saksi kejadian atau pemilik aplikasi Tik Tok berkenaan boleh menghubungi Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” katanya.
Zaidy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya (ABKLSB) 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.