GAMBAR ATAS: Pintu dan tangga menghala Cracked house Comedy Clun pada petang Khamis / BTS Media.
Oleh Feste KR
TERBAHARU, pelawak Rizal van Geyzel ditahan polis berhubung tiga video yang menyentuh sensitiviti agama Islam dan kaum.
Menurut peguam Rizal, Ramkarpal Singh, pengasas bersama Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail itu akan ditahan semalaman di lokap Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Ramkarpal berkata Rizal ditahan tengah hari tadi selepas memberi keterangan.
Dia akan dibawa ke mahkamah pagi Jumaat (15 Jul) untuk mendapatkan perintah reman.
Sementara itu, FMT memetik sumber polis yang mengesahkan bahawa Rizal disiasat oleh Unit Siasatan D5 Bukit Aman.
Siasatan terhadap Rizal dilakukan sehari selepas seorang wanita Melayu, Siti Nuramira Abdullah, 26, mencetuskan kontroversi dan kemarahan dengan persembahan spontan di pentas kelab tersebut.
Teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran juga didakwa memuat naik kandungan yang menghina dalam media sosial.
Nuramira mencetuskan kemarahan selepas video yang menunjukkan dia membuka tudung dan menanggalkan baju kurung hingga mendedahkan pakaian ringkas di dalam menutup tubuhnya menjadi tular.
Sebelum itu dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang Islam, dan kemudian mendakwa telah menghafal 15 juzuk Al-Quran.
Dewan Bandar raya Kuala Lumpur telah menggantung lesen kelab tersebut.
-BTS Media