BTS Media

Ketua agensi kerajaan ditahan atas dakwaan rasuah 2017

SEORANG ketua sebuah agensi kerajaan telah ditahan kerana didakwa menerima rasuah pada 2017.

Datuk berusia 40-an itu juga didakwa menyalahgunakan jawatannya berhubung pelantikan sebuah syarikat untuk mendapatkan empat kenderaan lima tahun lalu.

Suspek ditahan ketika dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kira-kira pukul 8.00 malam Isnin (17 Okt).

Menurut sumber, perolehan empat kenderaan pada 2017 yang berjumlah RM290,000 itu adalah bagi kegunaan agensi tersebut untuk menjalankan satu program.

Suspek direman empat hari sehingga 21 Okt ini selepas Majistret Irza Zulailha Rohanuddin membenarkan permohonan SPRM.

Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu.

-BTS Media

Leave a Comment