KEMENTERIAN Pertahanan mengarahkan Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan, untuk bercuti berkuat kuasa serta-merta susulan siasatan terhadap dakwaan melibatkan dirinya.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan bahawa langkah tersebut diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan. Menurutnya, keputusan berkenaan bersifat pentadbiran dan bertujuan memastikan proses siasatan berjalan lancar serta mengelakkan sebarang konflik kepentingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan seorang aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, sebelum ini mendakwa seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, kemudian mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Semakan awal turut mendapati beberapa syarikat memperoleh projek bernilai tinggi secara berulang kali, sekali gus menimbulkan persoalan.
Pada hari Selasa lalu, pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan dengan tumpuan siasatan terhadap projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
Hasil siasatan setakat ini menunjukkan bahawa antara tahun 2023 hingga 2025, Tentera Darat melaksanakan 158 projek perolehan bernilai melebihi RM500,000, manakala 4,521 projek melibatkan perolehan bernilai bawah RM500,000. Sehingga 24 Disember lalu, SPRM telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berkaitan perolehan projek Tentera Darat.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa Panglima Tentera Laut, Zulhelmy Ithnain, akan memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan tersebut dibuat susulan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaffar, yang mencapai umur persaraan wajib.
-BTSMedia.my



