BTS Media

Mahkamah Tinggi arah Rosmah bayar RM67.4 juta kepada pemilik barang kemas dari Lubnan

MAHKAMAH Tinggi hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.4 juta kepada pemilik 43 barang kemas dari Lubnan, yang dianggarkan bernilai sebanyak itu selepas diserahkan kepadanya pada bulan Februari 2018.

Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon, membenarkan saman yang difailkan oleh Global Royalty Trading SAL terhadap Rosmah bagi mendapatkan semula 43 barang kemas tersebut atau nilai yang dituntut sebanyak AS$14.6 juta. Tuntutan itu dibuat selepas barang kemas berkenaan dirampas dalam serbuan polis di Pavilion Residences, Kuala Lumpur pada tahun 2018.

Menurut Quay, mahkamah mendapati Rosmah bertanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas tersebut. Beliau berkata bahawa selepas perbicaraan penuh dijalankan, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif terhadap defendan dan mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 kepada plaintif dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan itu.

Quay turut menyatakan bahawa mahkamah menolak tuntutan indemniti yang dikemukakan Rosmah terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah dinamakan sebagai pihak ketiga dalam prosiding berkenaan.

Global Royalty Trading SAL memfailkan saman tersebut pada tahun 2023 dengan menuntut pemulangan barang kemas itu atau bayaran mengikut nilainya. Syarikat itu mendakwa barang kemas berkenaan dibekalkan kepada Rosmah secara konsainan tetapi tidak pernah dipulangkan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment