BTS Media

PH rebut kerusi Maran, UMNO dianggap tidak relevan lagi

ADUN Kuala Sentul merangkap Timbalan Ketua Bersatu Pahang, Jasri Jamaludin berkkaattaa pertikaian antara PKR dan Amanah Maran berhubung pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit dan Kuala Sentul mencerminkan hakikat bahawa Umno tidak lagi dianggap relevan oleh rakan-rakan kongsinya dalam Kerajaan Perpaduan.

Jasri berkata, kedua-dua kerusi itu sebelum ini diiktiraf sebagai kubu tradisi Umno, namun tuntutan terbuka yang dibuat oleh PKR dan Amanah menunjukkan parti itu sudah tidak lagi dipandang sebagai parti utama yang menyumbang kerusi dalam pakatan berkenaan.

Beliau berkata PKR dan Amanah Maran bertindak seolah-olah tidak mengendahkan Umno Maran, malah menganggap Umno sudah tidak relevan sejak bergabung bersama DAP.

Jasri mengibaratkan Umno Maran seperti tetamu kenduri yang menunggu orang lain makan dahulu sebelum mengambil lauk.

Jasri juga berkata perkembangan ini turut memberi petanda bahawa legasi Umno dan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Maran sudah hampir berakhir, memandangkan kerusi Parlimen Maran turut dianggap sebagai kerusi tradisi parti itu.

Menurut beliau, berdasarkan perkembangan semasa, gambaran itu jelas kelihatan apabila rakan kongsi dalam Pakatan Harapan (PH) bertindak sendiri tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Umno.

Keadaan ini tercetus selepas Ketua Amanah Maran, Ahmad Shuhor Awang meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan PKR untuk bertanding di kerusi DUN Luit dan Kuala Sentul. Beliau mendakwa perkara itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan pimpinan PH di peringkat kawasan.

Ahmad Shuhor menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu menunggu hasil perbincangan di peringkat tertinggi PH dan Kerajaan Perpaduan, bukan diumumkan secara terbuka tanpa muafakat bersama.

Luit dan Kuala Sentul merupakan dua daripada tiga kerusi DUN yang terletak di bawah kawasan Parlimen Maran, selain DUN Chenor.

Dalam pilihan raya negeri yang lalu, kerusi DUN Luit dimenangi oleh calon Perikatan Nasional (PN) dari PAS, Mohd Sofian Abdul Jalil, dengan majoriti 1,166 undi, manakala Jasri memenangi kerusi DUN Kuala, menewaskan calon BN, Khairuddin Ali, dan calon PH, Amran Tahir.

-BTSMedia.my

Leave a Comment