SEBUAH video yang menunjukkan pengisytiharan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 telah tersebar di media sosial, bertepatan dengan pergolakan perlembagaan yang sedang berlaku di negeri itu.
Dalam rakaman tersebut, Undang Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad yang membacakan proklamasi bagi pihak Undang Yang Empat, menyatakan bahawa pelantikan itu dilakukan selaras dengan Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959. Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu berkuat kuasa serta-merta dan berpunca daripada pengisytiharan yang dibuat oleh Undang Yang Empat pada 19 April 2026.
Majlis diadakan di sebuah hotel bertaraf bintang lima di Melaka. Tunku Nadzaruddin kemudiannya menerima proklamasi itu dengan menyatakan rasa kesyukuran yang mendalam kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Video itu tular pada hari yang sama Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan injunksi ad interim bagi menghalang sidang khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) daripada diteruskan, sekaligus menyekat sebarang usaha menyingkirkan Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin. Injunksi itu dipohon oleh Raja Norazli dan DKU bagi memelihara status quo sementara menunggu keputusan cabaran undang-undang di mahkamah.
Sidang DKU pada hari berkenaan dijangka melibatkan keempat-empat Undang, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, serta Tunku Nadzaruddin sendiri. Namun, Tunku Nadzaruddin dihalang oleh pihak polis daripada meninggalkan hotel, manakala keempat-empat Undang pada mulanya turut dihalang daripada memasuki kediaman Tunku Besar Tampin, iaitu lokasi yang telah ditetapkan untuk sidang DKU.
Keadaan kembali reda selepas Tunku Syed Razman sendiri turun ke pintu pagar utama dan mengarahkan supaya ia dibuka.
-BTSMedia.my



